Empat Individu Terlibat Pergelutan Dengan Anggota DBKL Direman

07/03/2025 12:10 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Empat individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat mencederakan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika menjalankan tugas pemantauan di dua lokasi berasingan di sini, semalam direman antara dua hingga tiga hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman dalam kenyataan berkata kesemua yang berusia antara 15 hingga 39 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Beliau berkata dalam kejadian pada 11.30 pagi di Lorong Benteng, berlaku pergelutan antara penguat kuasa DBKL dan suspek wanita berkenaan selepas dia diarahkan memindahkan trak makanan yang menghalang lalu lintas.

“Susulan pergelutan itu seorang anggota penguat kuasa mengalami kecederaan akibat digigit suspek. Wanita itu kemudian ditahan dan diserahkan kepada pihak polis serta direman dua hari hingga esok,” katanya.

Sulizmie Affendy berkata kejadian kedua pula berlaku di Masjid India pada 10.08 malam hari yang sama dan polis telah terima maklumat tentang kekecohan berlaku di situ melibatkan petugas DBKL dengan beberapa orang penjaja di hadapan premis perniagaan.

“Ketika melakukan penyuraian kekecohan anggota penguat kuasa DBKL telah dirempuh secara kasar dan anggota polis yang berada di lokasi kemudian telah menahan tiga lelaki tempatan berumur 15 hingga 39 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya.

Seorang daripada yang ditahan, katanya mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah dan kesemua mereka direman hingga Sabtu ini.

DBKL dalam kenyataan hari ini mengesahkan dua anggota penguat kuasanya cedera ketika menjalankan tugas pemantauan penjaja tidak berlesen di Bazar Ramadan dan Aidilfitri di lokasi berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan