Maritim Malaysia Perak Tahan Tiga Vesel Nelayan Tempatan, Rampas Hampir RM1 Juta

11/03/2025 06:38 PM

IPOH, 11 Mac (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan tiga vesel nelayan tempatan (VNT) di tiga lokasi berasingan di sekitar perairan Rungkup atas pelbagai kesalahan, membabitkan rampasan dianggarkan RM950,000.

Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata pihaknya turut menahan 11 individu termasuk lapan warga asing, hasil rondaan yang dijalankan Kapal Maritim (KM) Jepak dan bot ronda Maritim Malaysia yang giat mengawal kawasan berkenaan pada penghujung minggu lepas.

"Bagi kes tangkapan pertama, sebuah VNT kelas B didapati tidak diusahakan sendiri serta menggaji kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan. 

"Berikutan itu, tekong bersama dua kru warga Indonesia berusia 35 hingga 45 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan membenarkan pendatang tanpa izin berada di atas vesel itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Shukri berkata dalam kes berasingan, sebuah VNT kelas C bersama lima kru termasuk tekong warga Myanmar berusia antara 17 hingga 43 tahun ditahan atas kesalahan sama serta turut disyaki memasuki negara ini tanpa menggunakan laluan sah.

"Bagi kes ketiga, sebuah lagi VNT pukat tunda kelas B1 berjaya ditahan selepas dikesan beroperasi kurang dari jarak yang dibenarkan dari daratan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati tiga kru termasuk tekong warga tempatan berusia 47 hingga 61 tahun melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan di kawasan larangan dan tidak mengusahakan bot mereka sendiri," katanya.

Mohamad Shukri berkata kesemua kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana pelanggaran syarat lesen, menangkap ikan di zon larangan serta menggaji kru asing tanpa kebenaran.

Beliau berkata mereka juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta disyaki memasuki negara ini melalui laluan tidak sah.

“Kru warga asing ditahan untuk siasatan lanjut, manakala nelayan tempatan dilepaskan dengan jaminan bon manakala bot, hasil tangkapan serta peralatan perikanan dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan