Bas Terbalik, 40 Penumpang Terselamat

12/03/2025 11:46 AM

SEREMBAN, 12 Mac ( Bernama) -- Enam penumpang cedera manakala 34 yang lain terselamat apabila bas ekspres yang dinaiki terbalik dalam kemalangan di Kilometer 245.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Rembau awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rembau Amer Izham Mokthar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.01 pagi dan tiba ke lokasi 15 minit kemudian.

Beliau berkata terdapat 40 mangsa membabitkan 28 wanita dan 12 lelaki termasuk pemandu bas yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur.

"Hasil siasatan awal, pihak kami dimaklumkan oleh pemandu bas bahawa dia pitam sebelum hilang kawalan hingga menyebabkan bas dipandunya terbalik.

"Akibat kemalangan itu enam wanita dilaporkan cedera dan telah diberikan rawatan awal oleh petugas kesihatan bersama Pasukan Khas EMRS di lokasi kejadian dan dua daripadanya dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pemandu bas terselamat dan hanya mengalami cedera ringan manakala penumpang lain dibawa oleh sebuah bas lain dari lokasi kejadian ke Kuala Lumpur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan