SHAH ALAM, 7 Julai (Bernama) -- Seorang suri rumah hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen jelik kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook.
Suhaila Abd Halim, 39, didakwa secara sedar melakukan perbuatan itu melalui aplikasi akaun Facebook menggunakan nama profil ‘Suhaila Halim’ dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 8.30 pagi 5 Jan 2025 di Hospital Sungai Buloh.
Ibu kepada enam anak itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab bersama Pegawai Pendakwa MCMC Mohamad Azmir Mohd Razali menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Suhaila yang tidak diwakili peguam, merayu jaminan dikurangkan kepada RM500 atas alasan hanya suaminya sahaja bekerja bagi menanggung keluarga.
Hakim Norazlin Othman membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran kediaman sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah juga menetapkan 17 Sept depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial