JOHOR BAHRU, 19 Julai (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang pengurus syarikat swasta kerugian RM262,669 selepas terperdaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu semalam, selepas mangsa yang berusia 39 tahun menyedari telah ditipu.
“Mangsa memaklumkan kejadian bermula pada April lepas apabila dia terlihat satu iklan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat melalui pautan di aplikasi WhatsApp.
“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa melakukan 16 transaksi ke dalam dua akaun bank berbeza bermula 25 April hingga 4 Julai, membabitkan jumlah keseluruhan RM262,669,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Sohaimi berkata mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran tambahan bagi proses pengeluaran keuntungan pelaburan, namun tidak menerima sebarang pulangan.
Beliau berkata mangsa mula menyedari ditipu apabila segala usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburan itu gagal.
“Siasatan awal menggunakan platform Semak Mule oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mendapati satu daripada akaun bank yang digunakan dalam transaksi itu mempunyai satu rekod laporan polis membabitkan kes penipuan pelaburan.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis juga akan menjalankan siasatan lanjut berkaitan penglibatan akaun ‘keldai’ dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pemilik akaun terlibat,” katanya.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.
Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan individu atau syarikat yang menawarkan pelaburan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta menggunakan portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial