Mangsa Dipercayai Mandi Di Kawasan Air Bertakung Tapak Projek Mitigasi Banjir - Polis

19/07/2025 04:18 PM

SHAH ALAM, 19 Julai (Bernama) -- Polis memaklumkan lokasi dua kanak-kanak lelaki ditemukan lemas dalam kejadian berhampiran Jalan Cili Merah, Seksyen 24 semalam, adalah kawasan air bertakung di tapak projek mitigasi banjir Sungai Klang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata saksi di tempat kejadian memaklumkan bahawa mangsa masing-masing berusia sembilan dan 12 tahun itu ke kawasan berkenaan untuk mandi sebelum ditemukan lemas.

"Pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian menimpa mangsa pada 8.50 malam tadi daripada orang awam.

“Pemeriksaan badan kedua-dua  mangsa mendapati tiada kesan pergelutan atau kecederaan lain yang boleh menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Mohd Iqbal berkata kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372.

Semalam, dua kanak-kanak malang itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian, sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM). 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan