PDRM Umum Pelantikan Lima Ketua Polis Negeri Baharu

19/07/2025 06:38 PM

 

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pelantikan lima ketua polis negeri baharu dan pertukaran beberapa pegawai kanannya berkuat kuasa 18 Ogos ini.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Kamaruzaman Abdullah berkata pertukaran itu melibatkan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Azizee Ismail yang dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang.

Beliau berkata Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur Datuk Pahlawan Shazeli Datuk Kahar pula dilantik sebagai Ketua Polis Selangor manakala Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Fadil Marsus dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur.

“Selain itu, Timbalan Ketua Polis Kedah DCP Adzli Abu Shah dilantik sebagai Ketua Polis Kedah yang baharu  sementara Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman DCP Ab Rahaman Arsad dilantik sebagai Ketua Polis Johor yang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamaruzaman berkata kelima-lima pegawai kanan berkenaan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

Beliau berkata PDRM turut melakukan pertukaran 18 pegawai kanan lain antaranya melibatkan Ketua Lesen Pasukan Urus Setia KPN (Lesen Senjata Api) Bukit Aman Datuk Md Nazri Zawawi yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman dengan memangku pangkat Timbalan Komisioner Polis (DCP).

Selain itu, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Mohd Sukri Kaman pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

“Komander Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam SAC Dr Che Ghazali Che Awang dilantik sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur dengan memangku pangkat DCP.

“Timbalan Ketua Polis Perlis SAC Baderulhisham Baharudin dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah manakala Ketua Cawangan Khas Sarawak SAC Mohd Taufik Toh Abdullah dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E6 Cawangan Khas Bukit Aman dengan kedua-duanya memangku pangkat DCP,” katanya.

Selain itu, Kamaruzaman berkata Ketua Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur SAC Suffian Sulaiman dilantik sebagai sebagai Timbalan Ketua Polis Terengganu yang baharu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan