BANDAR BAHARU, 20 Julai (Bernama) -- Modul rawatan dan pemulihan baharu yang diperkenalkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menekankan pendekatan secara holistik, lebih mesra klien serta berasaskan bukti.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata modul baharu itu merupakan usaha agensi untuk memperkukuh sistem rawatan dan pemulihan penagihan atau penyalahgunaan dadah negara selari dengan keperluan semasa.
"Peluncuran modul baharu ini adalah satu langkah besar AADK untuk memastikan kaedah dan pendekatan rawatan serta pemulihan sentiasa relevan dengan perubahan semasa khususnya membabitkan isu penagihan dadah.
“Tambahan pula modul ini dirangka dengan kerjasama semua pihak merangkumi pendekatan bersepadu biospsikososial spiritual dan kaedah rawatan serta pemulihan berasaskan bukti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka AADK di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), di sini, hari ini.
Turut hadir Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali, Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK Siti Mariam Mursidan dan Pegawai Daerah Bandar Baharu Mohd Noor Ismail.
Menurutnya, peluncuran modul itu mencerminkan komitmen AADK untuk terus responsif terhadap perubahan landskap penagihan terutamanya melibatkan dadah sintetik dan bahan psikoaktif baharu.
"Modul baharu tersebut dijangka menjadi pemacu kepada agenda Malaysia MADANI bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui intervensi yang lebih berkesan dan inklusif melalui pendekatan rawatan dan pemulihan yang lebih holistik serta manusiawi.
“Menerusi modul ini, strategi pemulihan secara berfasa yang menekankan pemerkasaan kendiri, sokongan komuniti, pekerjaan, kemahiran dan integrasi semula di dalam masyarakat turut dikemas kini sebagai panduan untuk pegawai pemulihan AADK menjalankan tugas secara profesional dan konsisten,” katanya.
Dalam pada itu, Ruslin berkata Hari Terbuka AADK diadakan bertujuan memberi informasi berkaitan perkhidmatan terkini AADK kepada semua pelanggan khususnya dalam tiga bidang teras agensi iaitu pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial