KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Sesyen menetapkan 4 Nov ini untuk keputusan sama ada Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson Badrul Hisham Shaharin akan dipanggil untuk membela diri atau dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menjejaskan nama baik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Hakim Norma Ismail menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman memaklumkan pihak pendakwaan menutup kes setelah selesai mendengar keterangan saksi terakhir iaitu pegawai penyiasat kes pada perbicaraan hari ini.
"Mahkamah menetapkan 9 Sept untuk pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis, 9 Okt bagi pemfailan hujahan balas sekiranya ada dan 4 Nov untuk mengetahui keputusan di akhir kes pendakwaan," kata hakim itu.
Pada prosiding hari ini, Badrul Hisham diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Empat saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan sejak hari pertama perbicaraan pada 16 Mei lepas, termasuk pengadu dari Istana Negara, dua saksi dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta pegawai penyiasat kes.
Pada 29 April 2024, Badrul Hisham atau dikenali dengan nama panggilan Chegu Bard didakwa telah mengeluarkan kenyataan fitnah, dengan ada sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan fitnah itu akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara di sini pada 6 petang, 22 Jan 2024, mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial