Tolak Rayuan Akhir, Siti Bainun Kekal Dipenjara 12 Tahun abai Dan Aniaya Bella

14/08/2025 04:05 PM

PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali kerana mengabai serta menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, empat tahun lepas.

Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azman Abdullah, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz menolak rayuan akhir Siti Bainun, 33, terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Mei 2023.

Siti Bainun didapati bersalah atas dua pertuduhan, iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mengakibatkan remaja perempuan sindrom Down itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya. 

Hakim Azman ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata mahkamah mendapati tiada apa-apa kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi atas dapatan terperinci Hakim Mahkamah Sesyen.

"Setelah meneliti keseluruhan keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan, kami dapati pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya atas kedua-dua pertuduhan melampaui keraguan munasabah dan perayu (Siti Bainun) gagal untuk menimbulkan apa-apa keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Dengan ini, sabitan bagi kedua-dua pertuduhan adalah selamat untuk dikekalkan. Rayuan terhadap sabitan ditolak," katanya.

Hakim Azman, yang mengekalkan hukuman penjara itu berkata mangsa (Bella) mengalami kecederaan semasa berada di bawah jagaan perayu.

"Perayu yang diamanahkan untuk menjaga mangsa sepatutnya mengasihani mangsa yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU). Bukan setakat sesama manusia sahaja, tetapi haiwan pun tidak terfikir dengan akal yang waras untuk mendatangkan kecederaan sepertimana yang berlaku terhadap mangsa," katanya.

Dalam penghakimannya, Hakim Azman berkata tidak dapat dinafikan kecederaan dialami Bella, seorang OKU yang berusia 13 tahun semasa kejadian berlaku sepertimana dalam keterangannya (Bella) bukan berdiri sendiri, tetapi disokong oleh saksi mata Yasmin Nahar Mahmood (saksi pendakwaan kelima - SP5) dan SP8, iaitu pegawai penyelidik undang-undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam.

"Melalui keterangan beberapa orang pegawai dan pakar perubatan seperti SP2 (Dr Meenambigai PK Sevarajah), SP3 (pakar pediatrik HKL Dr Nizam Malik Bali Mohamed), SP4 (pegawai perubatan HKL Dr Sheshadri Sridar) dan SP15 (pakar bedah plastik HKL Dr Salmi Mohamed Shukur), saksi-saksi ini menyatakan bahawa kecederaan dialami Bella bukan accidental injuries dan bukan self-inflicted injuries serta bukan daripada satu insiden sahaja, tetapi berlarutan kepada beberapa insiden dalam jangka masa tertentu.

"Berdasarkan laporan perubatan dan gambar-gambar kecederaan, jelas menunjukkan kecederaan serius pada diri mangsa seperti luka lecur pada kedua-dua bawah lengan dan kesan luka lama pada bahagian kepala, muka, leher kiri, bahagian belakang badan, perut, paha kanan yang sebahagiannya terjadi lecuran dan luka terbakar," katanya.

Mengenai percanggahan keterangan SP5 yang dibangkitkan oleh peguam perayu, Hakim Azman berkata mahkamah mendapati tiada apa-apa motif untuk saksi utama pendakwaan itu menganiaya perayu kerana beliau hanya bertindak atas arahan perayu.

"Percanggahan yang berlaku hanya percanggahan biasa dan bukan sesuatu yang material yang boleh menggugat kes pendakwaan serta tidak sama sekali menggugat kredibiliti SP5 sebagai seorang saksi yang boleh dipercayai," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan