JKDM Pulau Pinang Sita Dua Kontena Bawa Lebih 40 Tan Sisa Pepejal Perbandaran

17/09/2025 03:38 PM

BUTTERWORTH, 17 Sept (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggagalkan cubaan membawa masuk dua kontena mengandungi 40.25 tan sisa pepejal perbandaran di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), bulan lepas.

Pengarah JKDM negeri Datuk Rohaizad Ali berkata operasi pada 23 Ogos mendapati kontena itu mengandungi sisa buangan seperti plastik, getah, kayu, batu, logam dan pelbagai bahan lain dikategorikan sebagai barangan larangan import di bawah Akta Kastam 1967.

Kontena itu dibawa masuk dari Savannah, Amerika Syarikat oleh sebuah syarikat tempatan dan pemeriksaan turut disaksikan wakil syarikat terbabit.

“Pengimport membuat pengisytiharan palsu dengan mengikrarkan barangan tersebut sebagai aluminium flakes bagi mengelak keperluan mendapatkan Approved Permit (AP).

“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati barangan sebenar ialah sisa pepejal perbandaran yang tertakluk kepada kawalan khas dan memerlukan kelulusan teknikal pihak berkuasa berkaitan,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Kastam negeri di Perai, di sini hari ini.

Rohaizad berkata pihaknya menahan pemilik syarikat iaitu dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dan 50-an bagi siasatan mengikut Seksyen 135(1) (a) Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, beliau memaklumkan JKDM Pulau Pinang menyita pelbagai komoditi bernilai RM75.22 juta termasuk cukai melibatkan 214 kes dari 1 Jan hingga 31 Ogos.

Daripada jumlah itu, rokok merekodkan nilai rampasan tertinggi iaitu RM11.51 juta membabitkan nilai duti RM26.48 juta dengan 80 kes, selain minuman keras (105 kes, RM1.96 juta nilai, RM3.68 juta cukai), 23 rampasan lain (nilai RM18.9 juta, RM5.5 juta cukai), empat kes dadah bernilai RM6.9 juta serta dua kes mata wang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan