Wanita Warga Emas Maut Dilanggar Pemandu Asing Dipercayai Mabuk

05/01/2026 11:55 AM

GEORGE TOWN, 5 Jan (Bernama) -- Wanita warga emas maut selepas dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu seorang lelaki warga asing yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol ketika sedang melintas jalan di Jalan Lembah Permai, Tanjung Tokong, di sini, lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, mangsa berusia 67 tahun yang tercampak ke atas jalan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Beliau berkata berdasarkan siasatan, kemalangan dipercayai berlaku ketika SUV dipandu lelaki berusia 51 tahun sedang bergerak dari arah Jalan Mount Erskine menghala ke Jalan Tanjung Bungah.

“Semasa tiba di tempat kejadian SUV telah terlanggar pejalan kaki yang melintas dari kiri ke kanan jalan. Akibat kemalangan, pejalan kaki tersebut telah tercampak ke atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rozak berkata pemandu SUV itu disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan, berdasarkan hasil ujian saringan yang dijalankan.

Beliau berkata polis telah menahan lelaki terbabit dan perintah reman akan dimohon bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan