META@BERNAMA

KPKT TERUS TUMPU PADA KESEJAHTERAAN RAKYAT

18/12/2023 08:26 PM

Oleh Sakina Mohamed

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Tahun 2023 merupakan tahun yang agak sibuk bagi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Awal tahun ini, menterinya Nga Kor Ming telah menetapkan sasaran tinggi untuk menghidupkan semula kebanyakan projek perumahan yang terbengkalai. Setelah hampir setahun, sasaran tersebut ternyata dapat dicapai.

KPKT telah berjaya memulihkan 351 projek terbengkalai di seluruh negara bernilai RM32.87 bilion sepanjang 2023. Ini telah menyelamatkan hampir 44,000 pembeli rumah daripada kerugian kewangan yang serius, selain memastikan mereka mendapat kediaman impian mereka.

Kementerian itu juga telah menempa pelbagai kejayaan signifikan pada 2023.

"Kami telah melaksanakan lebih daripada 5,200 projek infrastruktur awam dan komuniti sepanjang tahun ini, menjadikannya jumlah terbesar (projek sedemikian yang dilaksanakan dalam setahun) sepanjang sejarah kementerian ini," katanya.

Beliau juga berbangga kerana berjaya memupuk budaya khidmat cemerlang dalam kementeriannya.

"Ini dilakukan dengan mewujudkan Anugerah Kecemerlangan Menteri, sesuatu yang belum pernah dilakukan kementerian atau agensi lain sebelum ini," tambahnya.

KPKT juga telah memenangi 12 anugerah tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun lalu, menjadikannya rekod kemenangan tertinggi bagi kementerian tersebut.

Antara anugerah yang dimenangi ialah bagi Audio Frequency Intercept System (AFIS) yang direka cipta pasukan Alor Star Troopers daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.  

Reka cipta tersebut telah memenangi dua anugerah tertinggi di Anugerah Inovasi Premier Sektor Awam 2023 yang membawa ganjaran tunai sebanyak RM1 juta.

Sebagai tanda penghargaan, Nga memutuskan untuk menghadiahkan sebulan gaji beliau kepada para pemenang.

Ditanya mengenai rancangannya bagi KPKT pada tahun 2024, Nga memberitahu Bernama bahawa fokus kementerian itu pada tahun akan datang ialah untuk menjadikan KPKT pusat kecemerlangan perkhidmatan awam.

"Fokus utama kami ialah untuk memastikan setiap dasar dan pelaksanaannya disenangi rakyat.  Kesejahteraan rakyat akan menjadi tumpuan utama kementerian," katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif KPKT paling berimpak tinggi pada 2023, layari https://garasi.bernama.com/stories/mengubah-landskap-hidup-rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan