SUKAN

Halcyon Agri Malaysia anjur Hari Sukan Terbuka OKU Ogos ini

10/02/2019 05:30 PM

IPOH, 10 Feb (Bernama) -- Bandar raya Ipoh akan menjadi projek perintis bagi Hari Sukan Terbuka Untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) anjuran pemilik ladang getah terbesar dunia, Halcyon Agri Malaysia yang berpangkalan di Chemor di sini.

Program dijangka berlangsung Ogos ini, turut mendapat kerjasama daripada kerajaan Perak dan Yayasan Sukan Bali (BSF) Asia yang bertujuan unrtuk menonjolkan kebolehan OKU menyertai pelbagai jenis sukan seterusnya menyokong keperluan golongan berkenaan dalam pembangunan sukan.

Timbalan Pengarah Urusan Halcyon Agri, Wang Gee Hock berkata sehingga kini 80 peserta dalam kalangan golongan OKU telah berdaftar untuk menyertai enam jenis sukan bakal dipertandingkan melibatkan ragbi berkerusi roda, bola keranjang berkerusi roda, boccia, boling padang, badminton dan bola sepak.

"Kita akan melatih peserta untuk beberapa bulan sebelum penganjuran hari sukan itu yang dijangka berlangsung Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran hari sukan berkenaan yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri Howard Lee Chuan How di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Poi Lam Bandar Baru Sri Klebang di sini hari ini.

Sementara itu, Lee berkata penganjuran hari sukan itu akan menjadi titik permulaan kerajaan negeri bersama pihak swasta untuk menjalin kerjasama dengan rakan strategik dalam pembangunan sukan.

"Keghairahan dan kesudian pihak swasta (seperti Halcyon Agri) meluangkan masa, tenaga dan sumber untuk memperkasa agenda pembangunan sukan para, bukan sahaja untuk negeri Perak tetapi ia adalah satu agenda antarabangsa.

"Kami berharap dengan kerjasama antara kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri, Halcyon dan BSF Asia, ia dapat membuka satu lembaran baharu kita untuk menggembleng semua tenaga yang ada untuk memastikan sukan dapat menyatukan kesemua rakyat termasuk OKU," katanya.

Beliau berkata penganjuran program itu juga selari dengan misi dan agenda kerajaan negeri dalam membangunkan sukan sebagai salah satu bidang subsektor ekonomi.

"Kita memerlukan pihak swasta khususnya syarikat besar dan antarabangsa bersama-sama (memajukan sektor sukan) kerana sumber kerajaan negeri terhad,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan