KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama ) -- Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) yang ditubuhkan Kementerian Pendidikan sedang giat mengumpul maklumat dan pandangan pelbagai pihak berhubung pengiktirafan sijil itu.
Pasukan yang terdiri daripada tiga anggota termasuk seorang pengerusi itu diberi tugas mengemukakan maklumat serta syor berhubung perkara berkenaan kepada kementerian akhir Julai ini, sebelum diserahkan kepada kabinet untuk membuat keputusan.
Pengerusi PPDUEC, Eddin Khoo Bu Eng menjelaskan setakat ini, pelbagai pihak termasuk persatuan-persatuan, parti politik, individu dan sarjana telah memberikan pandangan mereka mengenai isu itu.
"Kadang-kadang ada pandangan yang tegas tapi kita harus berinteraksi dengan pihak mereka supaya ia dapat diungkapkan, dirangkum dalam laporan dan ia juga akan dapat beri maklumat yang diperlukan untuk tugas kita iaitu mencadangkan apa langkah yang harus dikendalikan dalam isu ini," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel pada Jumaat malam.
PPDUEC ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan bagi mengumpul maklumat secara komprehensif sebelum mengemukakan maklumat serta syor berhubung isu pengiktirafan sijil itu kepada kerajaan.
Khoo yang juga Pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Melayu (Pusaka) berkata walaupun isu UEC telah berlarutan selama 40 tahun, ini merupakan kali pertama sebuah jawatankuasa diwujudkan untuk menangani isu itu secara bebas.
"Kami adalah badan perantaraan untuk kumpul informasi, kumpul pendirian dan pendapat dan wujudkan laporan yang beri cadangan tapi kita tak buat keputusan dan saya harap semua pihak fahami bahawa isu ni harus dirumus bukan saja menanti keputusan setuju ke tak setuju," tambahnya.
UEC ialah merupakan sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia, dan pengiktirafannya merupakan antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH).
Beberapa pihak telah menyatakan bantahan mereka terhadap pengiktirafan sijil itu yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang dan dasar negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial