LANGKAWI, 13 Sept -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menyarankan penggiat industri tampil dengan idea kreatif dalam pakej yang ditawarkan termasuk mengadakan persembahan kebudayaan berskala besar pada waktu malam.
Beliau berkata saingan sengit dalam sektor pelancongan dari negara serantau seharusnya menjadikan penggiat industri hadir dengan idea untuk memberi pengalaman baharu kepada pengunjung yang datang ke pulau peranginan bebas cukai ini seterusnya mengekalkan status sebagai pulau tumpuan pengunjung.
"Negara-negara lain menawarkan macam-macam pakej menarik untuk pelancong tetapi di Langkawi mereka (pelancong) rasa tak banyak perubahan sejak sekian lama. Antara lain pelancong mendapati pada waktu malam aktiviti pelancongan tidak banyak seperti saingan kita di Phuket, Thailand; Bali, Indonesia dan Danang, Vietnam.
"Justeru, saya sarankan kena ada persembahan kebudayaan yang betul-betul menarik dan mampu tarik 200 hingga 300 orang setiap kali diadakan. Bila dapat tarik ramai orang akan berlaku percambahan ekonomi seperti peluang untuk jual cenderahati dan makanan, ini antara idea serta hasrat yang sedang diberikan perhatian oleh kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya kepada media selepas melawat Jabatan Penyiaran Langkawi, di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat Juhari Bulat dan ADUN Kuah Mohd Firdaus Ahmad.
Mukhriz turut berkongsi pengalaman menyaksikan persembahan kebudayaan semasa lawatan ke Xi’an dan Shanghai di China baru-baru ini yang menarik ramai penonton bukan hanya pelancong malahan penduduk tempatan.
"Baru-baru ini juga saya bawa beberapa pengusaha dari China yang terlibat dalam sektor persembahan untuk menyaksikan persembahan Mek Mulung dan Seni Silat Gayung, mereka sangat seronok melihat persembahan tersebut. Saya pasti jika pelancong datang ke Langkawi mereka juga nak lihat persembahan kebudayaan yang autentik, ini antara idea yang dapat bangunkan lagi sektor pelancongan di sini," katanya.
Sementara itu dalam satu majlis berasingan, Mukhriz turut memuji usaha dilakukan Samsudin Ismail, pemilik kedai motosikal yang menawarkan pengalaman baharu kepada pelancong dengan menyewakan motosikal klasik dan ‘old school’ buatan Amerika Syarikat di bawah jenama Cleveland CycleWerks.
“Saya rasa terpanggil untuk tengok sendiri daya usaha usahawan muda ini. Ini satu lagi tarikan kepada pelancong jika datang ke Langkawi sekiranya tidak membeli motosikal pun mereka boleh menyewa dan menunggang motosikal di sekitar pulau ini,” katanya dalam ucapan perasmian kedai motosikal The Bank Garage itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial