KUALA LUMPUR, 24 April -- Perkembangan pesat sukan elektronik (e-sukan) negara perlu diberi perhatian serius berikutan potensi yang boleh dibawa sukan itu di kejohanan peringkat antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata perkembangan e-sukan negara tidak sewajarnya dipandang rendah kerana persekitarannya mempunyai nilai komersial yang tinggi dan mampu menjana ekonomi anak-anak muda di negara ini.
“Maka sebab itulah e-sukan ini kita tidak boleh pandang enteng, ia bukan hanya mendapat tempat dalam kalangan anak muda, tetapi juga boleh membantu kepada pembangunan ekonomi negara jika ia dilakukan dengan cara yang baik dan terancang.
“E-sukan satu bentuk sukan yang dapat memberi penjanaan kepada kekayaan baru kerana rantaian ekonominya yang cukup luas dan populasi komuniti e-sukan di seluruh dunia hari ini telah melebihi 20 juta individu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan fasiliti latihan e-sukan di Casa 1, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.
Beliau berkata selain pemain dan kejohanan e-sukan, tumpuan juga harus diberikan kepada pembangun permainan dan penghasilan kandungan yang mampu membawa pulangan lumayan.
Reezal Merican berkata kementerian sentiasa komited dan menyokong penuh persekitaran sukan itu dengan mengambil langkah progresif bagi membina fasiliti latihan berkenaan bagi mempersiapkan atlet negara untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“Fasiliti ini akan menjadi venue latihan untuk kegunaan atlet e-sukan negara dalam program persiapan Sukan SEA Vietnam 2021 dan Sukan Asia 2022 serta boleh juga digunakan oleh atlet lain dalam program persiapan bagi sebarang kejohanan lain kerana turut dilengkapi dengan virtual reality (VR) dan simulasi.
“Fasiliti ini dilengkapi dengan kemudahan e-sukan seperti racing simulator, Playstation 4, komputer, ruang istirahat dan kemudahan wifi untuk mobile games,” jelasnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial