JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek Tetak Bapa Direman Tiga Hari

27/02/2025 11:34 AM

KANGAR, 27 Feb (Bernama) -- Lelaki memegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental yang disyaki menetak bapanya berusia 73 tahun di Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis dekat sini pada Isnin lepas, direman tiga hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata reman terhadap lelaki berumur 45 tahun itu dibenarkan Majistret Nurshahida Abdul Rahim di Mahkamah Majistret Kangar, bagi membantu siasatan kes itu.

"Permohonan reman terhadap suspek (kes di bawah) Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibenarkan selama tiga hari bermula 27 Feb hingga 1 Mac ini," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Yusharifuddin berkata parang yang dipercayai digunakan untuk menetak bapanya itu dijumpai di dalam semak berhampiran rumah suspek di kampung terbabit petang semalam.

Lelaki itu berjaya ditahan polis pada 10 pagi semalam ketika dia berlegar-legar di sekitar kawasan kampung berkenaan dalam keadaan lemah.

Kejadian dipercayai berlaku pada 5 petang, Isnin dan mangsa Halim Lebai Othman yang cedera pada bahagian kepala dan telinga kiri dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini dan telah dibenarkan keluar wad pada Selasa.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan