EKONOMI

Petunjuk Positif, Peniaga Jangka Persekitaran Menggalakkan Pada Suku Pertama 2025

27/02/2025 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Kalangan peniaga menjangkakan persekitaran perniagaan menggalakkan pada suku pertama 2025, didorong oleh petunjuk keyakinan positif sebanyak 3.2 peratus berbanding 4.8 peratus pada suku sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata tiga sektor -- perkhidmatan, pembinaan dan industri menjangkakan keadaan perniagaan lebih baik pada suku pertama 2025

“Keyakinan perniagaan bagi sektor perkhidmatan kekal pada jajaran positif dengan petunjuk keyakinan meningkat kepada 13.5 peratus berbanding 13.1 peratus pada suku sebelumnya.

“Pada masa sama, sentimen dalam sektor pembinaan meningkat kepada trajektori positif dengan mencatat 12.5 peratus berbanding -10.0 peratus dalam suku keempat 2024,” katanya dalam kenyataan media Statistik Kecenderungan Perniagaan bagi Suku Pertama 2025, hari ini.

Dalam pada itu, sektor industri terus optimis terhadap prestasi perniagaan dengan petunjuk keyakinan mencatat kenaikan 0.2 peratus bagi suku yang berbanding 1.2 peratus dalam suku keempat 2024.

Jabatan Perangkaan berkata peniaga dalam sektor perdagangan borong dan runcit menjangkakan prospek perniagaan yang pesimis dengan petunjuk keyakinan −8.1 peratus dalam suku pertama 2025 berbanding 5.5 peratus pada suku keempat 2024.

Namun, subsektor perdagangan runcit mengekalkan nilai positif dengan mencatat 4.1 peratus berbanding 11.9 peratus sebelumnya.

Bagi kemajuan masa depan, Jabatan Perangkaan berkata unjuran perniagaan bagi separuh pertama 2025 kekal optimis walaupun menyederhana dengan imbangan bersih 11.9 peratus berbanding +13.8 peratus dicatatkan sebelum ini dengan semua sektor mencatatkan nilai positif kecuali perdagangan borong dan runcit menunjukkan perspektif neutral.

Selain itu, sentimen dalam kalangan sektor perkhidmatan bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 kekal positif dengan imbangan bersih 27.5 peratus, sama seperti suku sebelumnya.

Sektor pembinaan turut mengunjurkan prospek perniagaan yang optimistik dengan imbangan bersih 12.5 peratus daripada 16.0 peratus bagi tempoh sama. 

Menurut Jabatan Perangkaan, sektor perdagangan borong dan runcit menunjukkan pandangan neutral berhubung jangkaan perniagaan untuk tempoh enam bulan akan datang, dipengaruhi oleh persepsi bercampur-campur dalam subsektor perdagangan borong dan runcit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan