AM

Program 2TM: Warga Kota Serbu Jualan Rahmah MADANI

23/11/2024 12:30 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Warga kota hari ini tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan di reruai Jualan Rahmah MADANI yang ditawarkan pada harga jauh lebih murah daripada harga pasaran, pada hari kedua Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM).

Reruai jualan yang dibuka bermula 9 pagi hingga 6 petang itu, menawarkan kadar potongan harga antara 10 dan 30 peratus terus menjadi tumpuan pengunjung sejak semalam pada program yang diadakan selama tiga hari hingga Ahad, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Seorang peniaga Zamri Ishak, 57, dari Ampang berkata beliau teruja dengan harga yang ditawarkan yang jauh lebih murah dan dapat banyak penjimatan.

“Pada mulanya saya hanya datang untuk meninjau harga barangan terlebih dahulu, tetapi bila lihat harga memang terbukti lebih murah berbanding harga pasaran, saya terus rebut peluang ini untuk berbelanja,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi program 2TM.

Beliau berkata antara barangan dijual pada harga yang murah termasuk telur, beras, minuman coklat, minyak masak, dan buah-buahan.

Jualan Rahmah MADANI menawarkan minyak masak lima kilogram (kg) pada harga RM21.90, beras lima kilogram RM15 dan 30 biji telur gred A (RM10). Barangan lain yang ditawarkan termasuk sardin dalam tin, sos cili, kicap, minuman malt coklat  dan santan dalam kotak.

Sementara itu seorang pengunjung Firdaus Abdullah, 45, juga menyifatkan kehadirannya ke program tersebut sebagai langkah kanan kerana dapat berjimat banyak kerana harga yang ditawarkan jauh lebih dengan harga di pasaran.

“Penjimatan dalam RM4 hingga RM10 bagi setiap barangan yang ditawarkan di Jualan Rahmah MADANI ini amat berbaloi. Lebih-lebih lagi tengah bulan, dapat juga membeli bekalan barangan kering untuk dua tiga minggu,” katanya yang turut mengajak orang ramai berkunjung ke program ini bagi merebut pelbagai tawaran murah.

Pekerja di restoran makanan segera Harith Mahadi, 22, turut berkongsi perasaan gembira kerana beliau bukan sahaja dapat membeli barang keperluan harian dengan harga murah, tetapi juga berpeluang menukar topi keledar yang lama kepada baharu secara percuma.

“Dengan gaji bawah RM2,000 hidup di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur dengan kos hidup yang tinggi, dapat topi (keledar) baharu dengan percuma pun cukup membuatkan saya rasa gembira.

“Selepas tengok promosi tentang program pertukaran ini, pukul 9 pagi lagi saya ajak adik saya datang ke KLCC dengan bawa dua topi keledar lama untuk ditukar. Duit untuk beli topi tu saya boleh simpan untuk kegunaan lain.

“Harga topi yang baik sekarang pun berharga antara RM50 hingga RM60 satu,” katanya yang ditemani adiknya Puteri Nur Batrisya Amanda, 14. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan