AM

Pemaju Diminta Tingkat Guna Tenaga Alternatif, Utama Biodiversiti - TPM Fadillah

23/11/2024 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Kerajaan meminta pihak berkepentingan, terutama pemaju perumahan untuk beralih kepada tenaga alternatif seperti solar dan mengutamakan kepentingan biodiversiti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata peningkatan usaha itu penting memandangkan penggunaan sumber tenaga berkenaan masih di tahap rendah walaupun Malaysia telah memulakan usaha itu sejak beberapa tahun lepas.

"Menurut laporan Pelan Hala Tuju Peralihan Negara, penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) iaitu tenaga hidro dan biotenaga, hanyalah sekadar empat peratus sehingga 2023.

“Ini masih jauh daripada sasaran 23 peratus (yang ditetapkan) bagi tahun 2050," kata beliau pada majlis makan malam Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) 2024 di sini, pada Jumaat. 

Sehubungan itu, Fadillah menggesa pihak pemaju untuk meneruskan usaha-usaha kelestarian ini melalui amalan-amalan baik seperti penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam projek-projek pembangunan mereka selain menggunakan bahan-bahan binaan mampan.

Pihak kerajaan akan terus menyokong usaha ini melalui pelbagai inisiatif bersesuaian seperti Skim Pemeteran Tenaga Bersih yang dilanjutkan sehingga 30 Jun 2025, serta e-rebat sebanyak RM70 juta bagi menggalakkan pengguna dan industri membeli kelengkapan cekap tenaga. 

Selain itu, beliau juga mengingatkan agar pihak pemaju menangani isu rumah terbengkalai bagi melindungi hak pembeli. 

“Walaupun ahli-ahli Rehda tidak terlibat dalam projek sakit dan terbengkalai, namun sebagai persatuan yang mewakili suara utama pemaju perumahan, adalah diharapkan isu itu dapat ditangani bersama demi menjamin kesejahteraan pembeli,” kata beliau.

 Mengikut laporan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sehingga 31 Okt, 2024, sebanyak 707 projek perumahan swasta dikategorikan sebagai sakit, terbengkalai dan lewat.

Kesemua projek berkenaan membabitkan sejumlah 129,007 unit rumah yang dibeli oleh 73,857 individu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan