AM

Sarawak Sedia Bincang Jika SJK, Sekolah Swasta Mahu Duduki Peperiksaan Penilaian Standard

23/11/2024 06:42 PM

SIBU, 23 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sarawak sedia berbincang jika ada sekolah bukan di bawah Program Dwibahasa (DLP) mahu menduduki peperiksaan penilaian standard, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.

Beliau berkata terdapat sekolah jenis kebangsaan dan sekolah swasta yang mahu menduduki peperiksaan itu, yang ketika ini hanya dilaksanakan untuk sekolah kebangsaan di Sarawak.

“Misalnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bukan di bawah DLP, tetapi mungkin mereka mahu menduduki peperiksaan berkenaan. Ada juga sekolah swasta bertanya adakah mereka boleh menduduki peperiksaan berkenaan, itu kita boleh bincang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Outreach MLNG Bestari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Oya di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden Kanan Perniagaan Gas dan Maritim Abang Yusuf Abang Puteh, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Malaysia LNG (MLNG) Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Oya Dr. Zulkarnain Farihin Abdullah.

Dr Annuar berkata semua pelajar DLP Sarawak akan menduduki peperiksaan penilaian standard, iaitu murid Tahun 6 mulai 2025 dan Tingkatan 3 bermula 2028.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata pencapaian para pelajar di Sarawak dapat dilihat dengan adanya ujian berkenaan.

“Kita boleh melihat sekolah mana yang boleh kita bantu jika mereka mendapat keputusan yang tidak baik,” katanya, sambil menambah peperiksaan berkenaan dikelolakan oleh Cambridge University Press & Assessment bagi memberikannya kualiti di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan