BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Institut pengajian tinggi awam dan swasta perlu memastikan pelajarnya tidak melaksanakan sebarang aktiviti luar termasuk di air susulan musim Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku membabitkan pelajar.
“Kita juga menyarankan dan menasihatkan kepada pelajar-pelajar supaya mengambil langkah perlu.
“Saya harap ia tidak akan menimbulkan masalah dalam kalangan mereka nanti. (Ini) musim (MTL) yang perlu kita mengambil langkah berjaga-jaga dan sebagainya,” katanya ketika meninjau persediaan Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Kerajaan Negeri Kelantan mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti luar susulan musim MTL ini.
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata ia berikutan ketika ini, cuaca di Kelantan tidak menentu dan hujan.
Sebelum ini, Zambry dilapor meminta IPT membuat persediaan sewajarnya bagi berdepan bencana banjir susulan fenomena MTL pada bulan ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) baru-baru ini mengeluarkan peringatan bahawa negara kini berada dalam tempoh MTL yang lazimnya membawa bersama musim tengkujuh dan taburan hujan luar biasa di Semenanjung.
Atas faktor ini, masyarakat diingatkan untuk merancang dengan teliti setiap aktiviti rekreasi atau sukan lasak sama ada di darat, air dan udara.
Pada musim MTL, sebarang rancangan melakukan aktiviti lasak memerlukan tahap waspada tinggi kerana cuaca dan keadaan persekitaran lazimnya menjadi menentu.
MTL atau lebih dikenali musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 5 Nov dan berterusan hingga Mac 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial