BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 AM

Sembilan Balai Polis Terjejas, Keselamatan Kelantan Tetap Diutamakan - Ahmad Zahid

29/11/2024 07:45 PM

KOTA BAHRU, 29 Nov (Bernama) -- Tahap keselamatan di Kelantan tidak terkesan dan tetap diutamakan meskipun sembilan balai polis di Pasir Mas dan Tumpat terjejas akibat banjir, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kesemua pegawai dan anggota polis terlibat telah dipindahkan ke kawasan yang lebih memerlukan khidmat mereka. 

"Peranan anggota berkenaan akan digantikan dengan penugasan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan tentera di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tapang, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud. 

“Kita juga telah menggerakkan aset antaranya trak-trak tentera dengan kapasiti berat tanpa muatan tiga tan dan lima tan dan kita sedang atur gerak trak yang lebih besar dengan kapasiti tujuh tan. 

“Kita turut memobilisasikan aset kendalian PDRM, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam malah persatuan nelayan juga telah menawarkan khidmat untuk mengatur gerak bot nelayan bagi kawasan pedalaman,” katanya yang tiba di PPS itu pada 4.30 petang.

Beliau berkata bagi kawasan Rantau Panjang yang teruk dilanda banjir tahun ini, perbincangan telah diadakan dengan Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz bagi koordinasi aset dan bantuan termasuk oleh sukarelawan. 

"Jajahan yang paling ramai mangsa setakat ini ialah Pasir Mas iaitu lokasi terletaknya Rantau Panjang, diikuti Tumpat dan Kota Bharu. 

“Nasihat saya selain bersabar, kita memohon kepada Allah agar semua urusan dipermudahkan dan insya-Allah bantuan tetap akan sampai ke kawasan-kawasan yang terpencil sekali pun,” katanya. 

Ahmad Zahid seterusnya meluangkan masa kira-kira 10 minit melawat 333 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Sering, di sini, hari ini.

Kedatangan beliau disambut mesra penduduk yang kebanyakannya tidak menyangka akan menerima kunjungan pemimpin utama negara itu.

Selain mendengar taklimat ringkas daripada petugas di PPS, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat turut beramah mesra dan bertanya khabar beberapa mangsa banjir 

Che Meshah Isa, 68, antara yang disapa TPM meluahkan rasa syukur dan gembira dapat bertemu dan beramah mesra dengan beliau.

"Alhamdulillah, TPM  sempat singgah di khemah saya bertanyakan khabar tentang kesihatan dan makan minum saya di PPS ini. Biasanya tengok TPM kat televisyen, rasa macam tidak percaya dapat bercakap dan bersemuka dengan beliau hari ini," katanya.

– BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan