AM

PENGENDALI PERKHIDMATAN BAS.MY PERLU PATUHI JADUAL KEKERAPAN PERJALANAN - LOKE

10/12/2024 02:25 PM

SEREMBAN, 10 Dis (Bernama) -- Pengendali bas bagi Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) atau Bas.My dinasihatkan supaya mematuhi jadual kekerapan dan laluan secara konsisten meskipun ketiadaan penumpang pada satu-satu masa.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ia bagi memastikan kecekapan perkhidmatan dan pengendali yang gagal mematuhi peraturan tersebut berdasarkan pemantauan Sistem Penentududukan Global (GPS) akan dikenakan penalti.

“Frekuensi bas memang telah ditingkatkan berbanding sebelum ini dan perkhidmatan Bas.My ini dibayar kerajaan, pengendali tak rugi apa-apa (kalau tiada penumpang), kalau model lama ia bergantung kepada syarikat swasta, kadang-kala kalau tengok jalan tak menguntungkan dia akan potong frekuensi.

“Dalam skim ini tak boleh dan tak ada alasan untuk potong kekerapan bas sebab kalau potong tak dapat bayaran, kita bayar ikut berapa perjalanan, walaupun tiada penumpang atau seorang sahaja, tetap jalan..kita nak pastikan frekuensi itu sentiasa boleh diharap (reliable),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pakej A Program SBST Seremban atau BAS.MY Seremban yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli di sini hari ini.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata pelaksanaan Bas.My Seremban melibatkan tujuh kawasan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Perbandaran Port Dickson, Majlis Perbandaran Jempol, Majlis Daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin.

Beliau berkata sebanyak 85 bas baharu termasuk 18 bas panjang, 61 bas mini dan mini low floor serta dua van digunakan dengan reka bentuk ceria berwarna merah jambu selain turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) serta paparan LED bagi memaparkan nombor dan destinasi bas.

Beliau berkata bagi memastikan perkhidmatan berkualiti disediakan, pas bulanan perjalanan tanpa had turut diperkenalkan dan pengguna hanya perlu membayar RM50 untuk perjalanan tanpa had di kesemua 21 laluan Bas.My Seremban bagi tempoh 30 hari.

“Selain itu, Kad Konsesi Bas.My juga diperkenalkan untuk golongan warga emas berumur 60 dan ke atas, orang kurang upaya serta pelajar berusia 7 hingga 17 tahun yang boleh menikmati tambang percuma dengan pendaftaran RM10. Kad konsesi itu turut diperluas kepada mahasiswa mulai 1 Jan 2025,” katanya sambil menambah pihaknya akan memperkenalkan Bas.MY Medik tahun hadapan.

Selain itu, Loke berharap kerajaan negeri meneruskan usaha dan melabur untuk melengkapkan ekosistem perkhidmatan Bas.My Seremban termasuk menaik taraf terminal pengangkutan awam dan perhentian bas, kemudahan papan maklumat jelas serta laluan pejalan kaki yang selamat.

Jelasnya, Kerajaan Persekutuan melabur RM178.5 juta bagi tempoh lima tahun atau RM35.7 juta setahun bagi untuk perkhidmatan Bas.My Seremban iaitu kos lebih rendah daripada RM48.4 juta setahun sebelum ini untuk jumlah laluan dan kekerapan yang sama.

Dalam pada itu, beliau berkata sejak bermulanya perkhidmatan Bas.My Seremban, jumlah penumpang meningkat kepada 90,435 penumpang bulan lepas berbanding 68,273 penumpang pada Ogos. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan