AM

MANGSA BANJIR DI PANTAI TIMUR MENINGKAT, PERAK, JOHOR KEKAL

11/12/2024 11:11 AM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Gelombang kedua monsun timur laut yang melanda sejak semalam menyaksikan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Terenggganu, Kelantan dan Pahang meningkat pagi ini, manakala jumlah mangsa di Perak dan Johor kekal. 

Di Terengganu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan bilangan mangsa di negeri ini terus meningkat kepada 5,853 orang daripada 1,449 keluarga pagi ini, berbanding 5,198 orang daripada 1,273 keluarga malam tadi. Kemaman mencatatkan daerah yang paling teruk terjejas dengan 5,452 mangsa, diikuti Dungun dengan 401 mangsa.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa ditempatkan di 30 buah pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk Darul Iman Training Centre (DITC), Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kalong dan SK Kemasik di Kemaman, manakala di Dungun pula, mangsa ditempatkan di Dewan Sivik Paka dan SK Sura.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir turut meningkat dengan Jerantut menjadi daerah terbaharu dilanda musibah itu selepas Maran dengan 210 mangsa setakat 8 pagi ini, berbanding 160 orang, malam tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana JKM, kesemua mangsa ditempatkan di tujuh PPS iaitu Pusat Pemindahan Tetap Luit, Balairaya Kg Jara, Pusat Pemindahan Banjir Kg Baru Sungai Chedong, Pusat Pemindahan Kg Ulut Luit, Surau Bukit Kuin, PPS Bangunan Bengkel Wanita Kg Bak Bak dan SK TEH.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus mencatat peningkatan kepada 307 mangsa daripada 72 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 288 orang daripada 71 keluarga malam tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa berkenaan ditempatkan di tiga PPS dari jajahan Gua Musang iaitu Dewan Semai Bakti Felda Chiku 7 (235 orang, 54 keluarga), Dewan Orang Ramai Batu 6 (31 orang, lapan keluarga) dan Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1 (41 orang, 10 keluarga).

Sementara itu di Johor Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata jumlah mangsa banjir kekal 155 orang daripada 41 keluarga dengan dua daerah terjejas iaitu Segamat (85 mangsa, 26 keluarga) dan Tangkak (70 orang, 15 keluarga).

"Stesen Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu dengan bacaan 20.19 meter (trend menurun)," kata Azmi yang menambah cuaca di kesemua 10 daerah di Johor diramalkan cerah pagi ini.

Di Perak , jumlah mangsa banjir pagi ini juga kekal  34 mangsa daripada 11 keluarga di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang, Bota di Perak Tengah, menurut JPBN negeri itu. 

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Perak dalam kenyataan memaklumkan paras Sungai Perak di Kuala Kenderong di daerah Hulu Perak berada pada paras bahaya setinggi 111.92 meter (m) berbanding paras nomal 111.00m.

Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan hujan berterusan dijangka berlaku sehingga esok di Perlis , Kedah di Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), dan Hulu Perak, Perak. 

Cuaca sama dijangka berlaku di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, manakala di Terengganu, hujan diramalkan berlaku di Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan