AM

PUSAT DATA BAGAN DATUK BAKAL JADI PENCETUS PERUBAHAN EKONOMI DIGITAL GLOBAL

11/12/2024 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Projek Pembangunan Pusat Data di Bagan Datuk, Perak yang akan dimulakan pada suku ketiga 2025, bakal menjadi pencetus perubahan (game-changer) bagi Malaysia sebagai pemain utama sektor ekonomi digital global.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pusat data dibangunkan oleh MARA Incorporated Sdn Bhd dan FELCRA Berhad itu bakal menyediakan infrastruktur kritikal untuk menyokong operasi perniagaan moden, membuka peluang dalam sektor perkhidmatan kewangan, perdagangan elektronik dan industri teknologi tinggi.

“Justeru, usaha membangunkan Pusat Data Peringkat Empat di Bagan Datuk ini bakal memperlihatkan bahawa daerah ini juga mempunyai potensi dalam sektor teknologi, setanding dengan pusat metropolitan lain di seluruh dunia.

“Fasiliti bertaraf antarabangsa ini juga berpotensi menarik pelaburan asing khususnya syarikat multinasional yang akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi serantau,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara MARA Incorporated Sdn Bhd dan FELCRA Berhad bagi Pembangunan Pusat Data di Bagan Datuk, Perak, di Sofitel Hotel hari ini. 

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata pemilihan kawasan strategik itu bukan sahaja berpotensi menampung keperluan sebuah pusat data tetapi juga mampu menjadi pencetus perubahan ekonomi di kawasan desa berhampiran, sekali gus memberi manfaat ekonomi yang besar untuk masyarakat setempat.

Beliau berkata penubuhan pusat data itu bukan yang pertama di negara ini malah beberapa bulan lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menyempurnakan majlis pecah tanah pusat data Google Cloud bernilai RM8.2 bilion yang akan dibangunkan di Selangor.

Menurut Timbalan Perdana Menteri pembangunan itu selari dengan jangkaan RHB Research pada Oktober lepas iaitu Malaysia bakal muncul sebagai hab pusat data terbesar di rantau ASEAN, dengan inventori diunjurkan mencapai empat gigawatt (GW) dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

“Perkembangan ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai lokasi pusat data paling pesat berkembang di rantau ini. 

“Ia bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi digital tetapi juga menjadi pemangkin kepada transisi negara ke arah penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) atau Renewable Energy,” katanya.

Dijangka siap dalam tempoh 10 tahun, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata projek itu bakal mewujudkan peluang pekerjaan merangkumi pelbagai bidang termasuk teknikal, pembinaan dan pengurusan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan