Daripada Muhammad Faiz Baharin
TEHRAN, 27 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Iran bersetuju untuk meneroka serta memperkasakan hubungan dua hala kedua-kedua negara, terutamanya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, kesihatan dan penyelidikan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu dipersetujui sewaktu mempengerusikan bersama Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Iran (JCM) kelapan dengan rakan sejawatnya Seyyed Abbas Araghchi pada Rabu.
Beliau berkata mesyuarat itu juga telah membantu meningkat dan mengukuhkan hubungan dua hala kerajaan dengan kerajaan (G2G) Kuala Lumpur dan Tehran, perniagaan kepada perniagaan (B2B) serta rakyat kedua-dua negara.
“Dalam aspek perdagangan dan perniagaan, kita sudah kenal pasti dan akan selaraskan bersama menerusi satu Joint Economic Commission Meeting antara Menteri Perdagangan (kedua-dua negara) dan Wisma Putra bertindak selaku agensi penyelaras.
“Walaupun Iran ada unilateral sanction daripada Amerika Syarikat, kita tidak boleh putuskan hubungan dua hala, kita perlu teroka cara tingkatkan (kerjasama) dalam aspek penyelidikan, sains, teknologi, kesihatan dan pelancongan yang tidak termasuk dalam sekatan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mohamad berkata demilkian selepas mengadakan pertemuan bersama warga Kedutaan Malaysia di Iran sebelum mengakhiri lawatan rasmi sulungnya selama tiga hari ke negara Republik Islam itu yang bermula Selasa lepas.
Beliau berkata komitmen kerjasama perdagangan itu selari dengan dasar Wisma Putra ketika ini yang bukan sahaja menguruskan hubungan dua hala dan pelbagai hala negara malah mahu membuka sebanyak mungkin pasaran baharu, menerusi diplomasi perdagangan bagi mengelak kebergantungan kepada pasaran tradisi.
Mengulas lanjut mengenai aspek perdagangan, Mohamad berkata Malaysia mahu meningkatkan eksport produk minyak kelapa sawit ke Iran.
“Mereka telah nyatakan kesediaan untuk import produk minyak sawit, saya menyatakan kita tidak lagi galakkan eksport minyak sawit mentah, (Malaysia) nak eksport minyak kelapa sawit yang telah ditapis dalam pelbagai bentuk kerana ini akan tambah nilai eksport kita, dan mereka tiada isu mengenainya.
“Malah, mereka menyatakan kita patut mengambil peluang untuk menjadikan Iran sebagai pintu masuk kepada pasaran di Asia Tengah memandangkan ia belum diterokai sepenuhnya,” katanya yang turut menjemput Iran untuk menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk perdagangan negara itu ke ASEAN.
Dalam soal pendidikan, Mohamad berkata beliau telah meminta kerajaan Iran untuk menghantar lebih ramai pelajar negara itu melanjutkan pelajaran dalam lulusan Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ke Malaysia sekali gus meningkatkan hubungan baik rakyat kedua negara.
Untuk rekod, Malaysia telah menganjurkan JCM ketujuh di Putrajaya yang diadakan dari 10 hingga 11 Nov 2008.
Pada 2024, Iran menjadi rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan bernilai RM2.6 bilion (US$0.57 bilion), peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding 2023.
Malaysia pula menjadi rakan dagang terbesar Iran dalam kalangan negara anggota ASEAN dan yang ke-19 terbesar di dunia pada 2023.
Pada 1970, Malaysia menubuhkan kedutaannya di Tehran manakala Iran menubuhkan kedutaannya di Kuala Lumpur pada 1981.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial