BERITA COVID–19   JKNK siasat 44 pelajar asrama SMK Agama Naim lil-Banat positif COVID-19 | PKPD di Kampung Batu Talam, Raub, Pahang dari 19 Jan hingga 1 Feb - MKN | COVID: 36 kes dikesan babitkan kluster di SMK Tambunan | COVID: Sarawak catat kes harian terendah dengan enam kes | Tiada bukti kesihatan awam Omicron mampu bina imuniti kelompok terhadap COVID-19 | 
EKONOMI

MIDA yakin terhadap pertumbuhan pelaburan sektor elektrik & elektronik tahun ini

10/04/2018 07:51 PM
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yakin pertumbuhan  pelaburan diluluskan dalam sektor elektrik dan elektronik negara dapat dicapai meskipun berlaku perang  perdagangan berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.



Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Arham Abdul Rahman berkata sektor itu dijangka memanfaatkan pertumbuhan sektor elektrik dan elektronik dunia - diunjurkan  antara 8.0 dan 12 peratus tahun ini - serta aliran kepelbagaian dan pengembangan perniagaan yang semakin meningkat di dalam negara ini.



"Kita berharap dapat mencapai lebih daripada apa yang kita catatkan pada tahun lepas," katanya kepada pemberita semasa taklimat mengenai Pameran Semicon Asia Tenggara 2018 (Semicon SEA 2018) di sini, hari ini.



Arham berkata MIDA sedang berunding dengan beberapa pihak mengenai pelaburan elektrik dan elektronik dalam negara.



Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.



Tahun lepas, sektor elektrik dan elektronik mencatatkan 109 projek menerusi pelaburan diluluskan RM9.7 bilion serta mewujudkan 10,593 peluang pekerjaan.



Bagi perkembangan perang perdagangan AS-China, Arham berkata Malaysia tidak benar-benar terjejas memandangkan negara bukan merupakan pengeksport utama ke AS, namun berkata, MIDA akan terus memantau perkembangan berkenaan.



Selain itu beliau berkata Pameran Semicon SEA 2018 akan  diadakan di sini mulai 8 hingga 10 Mei untuk mempamerkan keupayaan elektrik dan elektronik Malaysia serta ekosistem sektor tersebut dalam usaha menarik pelabur berpotensi.



Pameran itu, dianjurkan bersama organisasi Peralatan dan Bahan Semikonduktor Antarabangsa (SEMI) yang berpangkalan di Singapura, merupakan yang julung-julung kali diadakan di luar Pulau Pinang sejak kali pertama diwujudkan tiga tahun lepas.



Arham berkata acara itu, yang mengetengahkan 380 pempamer dari 15 negara, dijangka menjadi tumpuan ramai, walaupun diadakan serentak  dengan hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei.



"Saya amat yakin kita dapat menarik sejumlah besar pengunjung memandangkan pameran ini juga melibatkan peserta dan pempamer antarabangsa," katanya.



-- BERNAMA



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan