EKONOMI

SERBA DINAMIK AKAN LAKSANA TAWARAN SAHAM PERSENDIRIAN

24/04/2020 12:03 AM

KUALA LUMPUR, 23 April -- Serba Dinamik Holdings Bhd mencadangkan tawaran saham persendirian untuk meningkatkan modal kerjanya sehingga RM580.09 juta dan mengurangkan sebahagian daripada pinjaman sedia adanya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata langkah itu akan memberikan ia kelonggaran kewangan untuk membiayai rancangan pengembangan dan strategi pertumbuhan pada masa depan, sekiranya peluang muncul.

Ia juga akan membantu kumpulan itu menarik lebih banyak pelabur institusi tempatan dan antarabangsa, yang seterusnya dapat memperbesarkan asas pemegang saham Serba Dinamik dan berpotensi meningkatkan kecairan sahamnya.

Cadangan tawaran saham persendirian itu melibatkan terbitan hingga 394.62 juta saham baharu, mewakili sehingga 10 peratus daripada jumlah saham biasa yang diterbitkan Serba Dinamik.

Berdasarkan harga terbitan ilustratif RM1.47 bagi setiap tawaran saham persendirian, ia berkata tawaran saham itu akan meningkatkan hasil kasar sebanyak RM450.57 juta dan RM580.09 juta masing-masing di bawah senario minimum dan maksimum.

Syarikat perkhidmatan kejuruteraan itu menjangka tawaran saham persendirian itu selesai pada suku kedua 2020.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan