IPOH, 23 April -- Polis menafikan kematian seorang lelaki berusia 44 tahun yang ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 3, Kampung Manjoi di sini semalam berkaitan dengan COVID-19.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A.Asmadi Abdul Aziz berkata keputusan ujian yang dilakukan oleh petugas Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati lelaki itu negatif COVID-19, sekali gus membolehkan bedah siasat dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati lelaki itu meninggal dunia akibat serangan jantung," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
A.Asmadi berkata anggota polis di Balai Polis Manjoi menerima maklumat pada pukul 1.30 tengah hari semalam daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) COVID-19 mengenai kematian lelaki itu, dan hasil siasatan polis di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Lelaki yang tinggal seorang diri disedari (tidak bernyawa) oleh adiknya semasa mahu menziarahi di rumah itu yang dikunci dari dalam. Bantuan bomba telah dipohon untuk membuka pintu rumah," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial