EKONOMI

LOTTE CHEMICAL CATAT KERUGIAN BERSIH RM170.06 JUTA PADA SUKU PERTAMA

29/04/2020 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 29 Apri -- LOTTE Chemical Titan Holding Bhd (Lotte Chemical) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM170.06 juta pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2020 daripada keuntungan bersih RM55.83 juta, berikutan hasil yang lebih rendah sebanyak RM1.46 bilion daripada RM2.17 bilion sebelumnya .

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, ia berkata pandemik COVID-19 telah menyebabkan permintaan yang lembap di tengah langkah-langkah kawalan pergerakan serantau ketika berlakunya kejatuhan harga minyak mentah global secara tiba-tiba yang meningkatkan ketidakstabilan dalam kos bekalan naphtha dan dipengaruhi harga jualan purata (ASP).

Ia berkata sekatan perjalanan di kebanyakan bandar-bandar utama di China sejak Januari telah mengganggu rantaian bekalan global yang kritikal dan menyebabkan kesan yang teruk kepada ekonomi global.

Dari segi operasi, syarikat itu telah menjalani aktiviti pemulihan sejak akhir bulan Februari untuk sebahagian besar kilang di Malaysia yang berjaya disiapkan mengikut jadual pada awal April dan kilang-kilang yang terlibat telah beroperasi semula.

Oleh itu, kadar operasi keseluruhan untuk kompleksnya lebih rendah pada suku tahun yang menyebabkan jumlah pengeluaran lebih rendah.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Dr Lee Dong Woo berkata wujud kebimbangan global yang meningkat mengenai kesan pandemik COVID-19 terhadap ekonomi global.

"Syarikat kami juga akan memberi kesan kepada industri petrokimia yang berhubung kait dan bergantung kepada corak penggunaan keseluruhan yang memacu pertumbuhan ekonomi global.

"Bagaimanapun, kami mengekalkan daya tahan kewangan yang kukuh, berada dalam kedudukan tunai bersih dengan wang tunai RM4 bilion dan juga menghasilkan sekitar RM271 juta aliran tunai daripada operasi pada suku tersebut," katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata LOTTE Chemical akan terus memberi tumpuan kepada inisiatif pengoptimuman prestasi operasi dan kewangan dalam persekitaram luaran yang sangat tidak menentu.

Di sebalik persekitaran perniagaan yang mencabar, ia telah bersama dengan usaha dijalankan di seluruh negara untuk memerangi wabak COVID-19 dengan membekalkan peralatan pelindung diri dan barangan penting lain kepada petugas perubatan dan keselamatan melalui jabatan pihak berkuasa yang berkaitan.

LOTTE Chemical juga telah menaja Polypropylene, sejenis produk polimer, yang merupakan salah satu bahan mentah yang digunakan untuk pembuatan pelindung muka dan peralatan swab untuk prosedur ujian COVID-19.

"Tajaan produk dilakukan dengan kerjasama agensi kerajaan dan persatuan industri seperti Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Malaysian Petrochemical Association dan Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan