EKONOMI

SERBA DINAMIK DAN MTDC LANCAR DANA TRANSFORMASI INOVATIF UNTUK PEMULA NIAGA

06/05/2020 11:07 AM

KUALA LUMPUR, 5 Mei -- Serba Dinamik Group Berhad (SDGB) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) telah melancarkan Dana Transfromasi Inovatif (Innovative Transformation Seed Fund) bernilai RM6 juta untuk menggalakkan syarikat pemula niaga baharu yang terlibat dalam inovasi digital atau perniagaan untuk mengkomersialkan idea mereka melalui model perniagaan yang jelas.

Memorandum Persefahaman (MoU) secara maya mengenai Dana Transformasi Inovatif ditandatangani antara kedua-dua pihak hari ini untuk mendorong pertumbuhan ekosistem syarikat pemula niaga digital di Malaysia, dengan memberikan panduan dan bimbingan kepada usahawan baharu untuk transformasi inovatif.

"Kerjasama ini membantu syarikat pemula niaga teknologi era baharu di negara ini, dengan memfokuskan kepada teknologi masa depan seperti Kecerdasan Buatan, 5G, Data Raya, Keselamatan Siber, Lejar Digital Terbuka, Internet Pelbagai Perkara, Pembelajaran Mesin untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan digital di seluruh rangkaian global,” kata SDGB dan MTDC dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Hari ini, SDGB dan MTDC mengadakan majlis MoU secara maya buat kali pertama yang turut dihadiri Pengarah Urusan kumpulan SDGB, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus.

Kenyataan bersama itu berkata sebagai sebahagian daripada kerangka pertumbuhan komprehensif yang digariskan dalam MoU, MTDC akan melibatkan SDGB dalam membantu usahawan pemula niaga teknologi baharu di Malaysia untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan digital yang berkaitan dengan urusniaga yang dicadangkan.

"SDGB juga akan bertanggungjawab untuk berkongsi idea dan maklumat mengenai pembangunan syarikat pemula niaga dan usahawan baharu di bawah ekosistem MTDC mengenai urusniaga yang dicadangkan," katanya.

Sementara itu, Mohd Abdul Karim berkata kerjasama itu merupakan fasa pertama bagi kedua-dua organisasi untuk perkongsian dalam program pembangunan usahawan kebanyakannya di Sarawak dan akan diteruskan secara berperingkat ke Semenanjung Malaysia.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan MTDC untuk membimbing bakat-bakat tempatan bagi memanfaatkan potensi pertumbuhan besar yang ditawarkan di rantau ini dan dengan inisiatif ini, ia dapat menjadi peluang mengembangkan operasi di peringkat antarabangsa," katanya.

Norhalim berkata MTDC akan memperluaskan peluang kerjasama kepada pakar inovasi pemula niaga di Malaysia untuk terlibat dengan cabang penyelidikan dan pengembangannya bagi membantu meningkatkan kesedaran mengenai teknologi digital dan menanamkan budaya pemikiran inovatif.

"Kami juga akan merancang dan mengembangkan program, termasuk latihan, berkongsi ilmu pengetahuan, program pembangunan dan program-program lain yang akan menguntungkan kerjasama itu selain daripada menyediakan pemindahan pengetahuan dan kepakaran untuk pengembangan pemindahan teknologi, pengkomersialan dan keusahawanan", katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan