EKONOMI

SERBA DINAMIK LANCAR APLIKASI PEMBELIAN MAKANAN DALAM TALIAN HALAL2GO

19/05/2020 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei -- Serba Dinamik Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Serba Dinamik IT Solution Sdn Bhd (SDIT) hari ini melancarkan aplikasi “Halal2Go” yang menawarkan perkhidmatan pembelian dan penghantaran makanan secara dalam talian.

Halal2Go merupakan aplikasi sehenti menumpukan penghantaran makanan halal, bersih, suci, selamat dan berkualiti dari makanan tradisional ke pelbagai aneka juadah yang akan disediakan rangkaian restoran dan juga masakan dari rumah.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah berkata Halal2Go yang berpaksikan kepada perancangan holistik itu akan bermula secara berperingkat di bahagian domestik dan seterusnya ke peringkat global.

“Bermula dari Shah Alam dan Subang, Selangor, kita akan melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa termasuk Singapura, Indonesia, India, United Kingdom dan Emiriah Arab Bersatu.

“Dengan perancangan menyeluruh ini juga, kita menjangkakan pendapatan syarikat dapat diperkukuh dengan anggaran RM50 juta sehingga penghujung tahun ini,” katanya pada pelancaran secara maya perkhidmatan Halal2Go di laman sesawang Facebook, hari ini.  

Menerusi usaha itu, Mohd Abdul Karim berkata, SDIT turut menawarkan persaingan yang sihat dalam ekonomi gig kepada individu dalam perkhidmatan dalam talian yang lain.

Yang Dipertua Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (USAHANITA), Datuk Faridah A. Jabbar berkata, usaha yang dilakukan oleh SDIT itu akan membantu mengukuhkan lagi peluang kepada usahawan wanita khususnya kepada golongan seperti ‘Makcik Kiah’ dalam mempromosikan perniagaan mereka.

“Peluang itu akan menjadi lebih cerah apabila ‘Makcik Kiah’ atau penjaja tepi jalan boleh datang berdaftar di bawah naungan USAHANITA. Dengan peluang ini juga, wanita boleh menjadi penghantar makanan bagi menambahkan pendapatan mereka dan meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya pada majlis pelancaran itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof. Datuk Dr. Hassan Mad berkata kreativiti SDIT mencantumkan ekonomi digital dengan aspek syariah merupakan langkah yang sesuai bagi pertumbuhan ekonomi di negara ini.

“Ia merupakan platform Bumiputera Muslim yang pertama dengan menggunakan aplikasi Halal2Go untuk memasarkan dan menyampaikan produknya kepada pelanggan,” katanya pada majlis yang sama.

Aplikasi Halal2Go yang bakal dilancarkan di Google Play Store itu juga menawarkan ciri-ciri pembelian makanan yang mudah, cepat dan selamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan