AM

Keracunan puding buih berpunca telur tamat tempoh - Exco Terengganu

31/05/2020 05:04 PM

KUALA TERENGGANU, 31 Mei -- Kes keracunan makanan akibat puding buih yang melibatkan 99 pesakit di Terengganu baru-baru ini berpunca daripada penggunaan telur yang telah tamat tempoh.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata kesilapan peniaga tersebut kerana menggunakan telur yang sudah lebih dua minggu dari tarikh luputnya.

"Tindakan pun telah diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan menutup dapur premis untuk jualan puding buih tersebut mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama 14 hari sehingga 7 Jun depan," katanya kepada pemberita hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan seramai 99 pesakit menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hospital swasta dan rawatan sebagai pesakit luar di beberapa klinik kerajaan dan klinik swasta setelah cirit-birit, muntah-muntah dan demam selepas menikmati puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lepas.

Daripada 99 kes tersebut, yang membabitkan 20 keluarga berlainan, 77 pesakit tinggal di Kuala Terengganu manakala 22 pesakit lagi dari daerah Marang.

Dalam pada itu, Dr Alias berkata kerajaan negeri akan membuat satu kajian terperinci berhubung prosedur operasi standard (SOP) untuk peniaga makanan kecil-kecilan yang beroperasi di rumah bagi mengelak kejadian keracunan itu berulang pada masa depan.

"Kebanyakan mereka tidak mempunyai lesen berniaga, hanya memasak di rumah dan memasarkannya secara dalam talian yang kita tak tahu bagaimana pengendalian masakan dan tahap kebersihan yang diamalkan.

"Jadi kami minta Jabatan Kesihatan sediakan satu SOP untuk peniaga makanan yang beroperasi dari rumah agar dapat bantu mereka jana ekonomi dan pada masa sama pastikan keselamatan makanan yang dijual.

"Penyedia makanan juga perlukan suntikan khas serta mengamalkan tahap kebersihan yang sepatutnya sama seperti peniaga yang beroperasi di premis perniagaan lain," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan