PUTRAJAYA, 17 Jun -- Sebanyak 5,302 Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negara akan diperkasa termasuk yang tidak aktif, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Sadique.
Beliau berkata buat masa ini sebahagian besar daripada SRS tidak aktif atas faktor-faktor yang belum diketahui.
"Sekarang tugas kementerian adalah untuk memperkasa SRS yang tidak aktif ini," katanya kepada media selepas majlis penyerahan kit peralatan rondaan SRS di sini hari ini.
Kit peralatan rondaan SRS itu diserahkan kepada pengarah Jabatan Perpaduan negeri-negeri untuk diedarkan kepada 1,079 SRS yang dibenarkan melakukan rondaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Kit itu mengandungi peralatan seperti cecair pensanitasi tangan, pelitup separuh muka, wisel, rompi keselamatan, topi SRS, cota, termometer dan lampu picit.
Halimah berkata 1,079 SRS terpilih akan melakukan rondaan kawasan bermula Sabtu ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Khas Menteri-menteri pada 6 Jun lepas yang meluluskan Garis Panduan Pelaksanaan Tugas Rondaan di Zon Hijau.
Selain perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan, setiap peronda juga diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk membolehkan pelaksanaan penilaian kesihatan kendiri, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial