EKONOMI

NEUROGINE LANCAR NCARD™, PENUHI PERMINTAAN BAGI PEMBAYARAN TANPA SENTUH DI MYANMAR

19/06/2020 12:54 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 19 Jun  -- Neurogine MPEX (L) Ltd melancarkan nCard™, teknologi pembayaran perkhidmatan token dan Komunikasi Medan Dekat (NFC) pertama untuk memenuhi permintaan terhadap keupayaan pembayaran tanpa sentuh di Myanmar,

Ketua Pegawai Eksekutif, Owen Chen Chee Onn berkata nCard™ memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pembayaran tanpa sentuh, susulan pandemik COVID-19, dan menyokong usaha penyertaan kewangan.

Beliau berkata nCard™ dicipta untuk disepadukan secara lancar dengan platform perbankan dan pembayaran menggunakan antara muka pengaturcaraan yang diterima oleh industri.

"Kelebihan teknologi kami dalam nCard™ menawarkan pelaksanaan lazim bagi hanya 30-60 hari kerja, mengatasi rintangan dan kesukaran teknologi lama.

"nCard™ adalah yang pertama seumpamanya di Myanmar, bersedia untuk memenuhi keperluan NFC dan perkhidmatan pembayaran token daripada kad kredit global, " katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata Neurogine MPEX berjaya membuat prototaip modul pembayaran NFC pada peranti mudah alih dan telefon pintar minggu lepas bagi sebuah bank peringkat-1 iaitu bank perdagangan tertua dan terbesar di Myanmar.

Pada masa ini, syarikat tersebut menjalankan ujian selama dua bulan mulai pertengahan Jun, kemudian diikuti dengan penggunaan rintis.

Owen berkata nCard™ berfungsi pada aplikasi mudah alih sedia ada dari institusi kewangan, bank, rantai runcit besar dan syarikat multinasional serta kad kredit yang disatukan pada aplikasi mudah alih tunggal.

Beliau berkata Neurogine MPEX bekerjasama dengan rakan strategik di Myanmar untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran mengenai teknologi pembayaran tanpa sentuh.

Keyakinan terhadap nCard™ adalah berasaskan demografi pengguna mudah alih Myanmar, usaha penyertaan kewangan nasional dan jumlah penduduk negara itu sebanyak 53.71 juta orang -- lebih 42 peratus daripadanya berusia di bawah 25 tahun -- serta kawasan bandar dan luar bandar yang baik, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kewangan Perniagaan Antarabangsa (IBFC) Labuan, Farah Jaafar-Crossby berkata ini merupakan satu lagi kejayaan bagi ahli digital Labuan IBFC.

"Kami gembira dapat menyokong Neurogine dalam usaha ini, terutama dengan wujudnya elemen penyertaan kewangan yang kuat dalam pelaksanaan nCard™.

"Kami percaya penyelesaian digital merupakan pemboleh penting untuk sistem perantaraan kewangan global yang lebih saksama, yang lebih diperlukan sekarang, kerana kita menghadapi cabaran akibat COVID-19 dan kemerosotan ekonomi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan