AM

SAKSIKAN KONSERT 'WINGS KITA MERDEKA' SECARA MAYA 29 OGOS

30/07/2020 12:35 AM

KUALA LUMPUR, 29 Julai -- Kumpulan legenda rock Wings berharap dapat melakar sejarah dalam penganjuran konsert maya pertama Wings yang berlangsung pada 29 Ogos sempena ulang tahun ke-35 penubuhan kumpulan itu dan sambutan Hari Kebangsaan.

“Konsert Wings Kita Merdeka ini adalah hadiah daripada kami kepada peminat. Inspirasi untuk konsert ini adalah wira yang berjuang untuk kemerdekaan negara kita.

“Kami juga mahu menghargai petugas barisan hadapan yang telah bekerja keras untuk memastikan keselamatan kita semasa dilanda pandemik COVID-19 ini,” kata vokalis kumpulan, Awie atau nama sebenarnya Datuk Azhar Othman dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, wakil Sonic Minds Sdn Bhd, Suffian Majid berkata syarikat itu sangat teruja untuk menjayakan konsert penstriman secara langsung pertama untuk kumpulan legenda rock negara itu.

“Pandemik ini telah mengubah cara kita menikmati konsert secara langsung, sehubungan itu Sonic Minds Sdn Bhd dan Firm Motion Sdn Bhd menjalin kerjasama untuk merealisasikan konsert ini,” katanya.

“Wings juga berani untuk mencuba sesuatu yang baru, sama seperti kami, dan ini adalah cara kami rock ‘n roll pada tahun 2020,” katanya.

EasyBuyBye, platform e-dagang di bawah Serba Dinamik IT Sdn Bhd adalah penaja penyampai konsert tersebut, sementara syarikat JM Bariani House juga telah mengesahkan penajaannya.

Peluang perkongsian dan penajaan untuk menyokong projek itu masih terbuka dan mereka yang berminat boleh menghubungi penganjur.

Tiket berharga RM35 dan boleh diakses mulai 30 Julai di www.galactix.asia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan