AM

Solat jemaah, aktiviti di Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang ditangguh - JAIS

09/10/2020 11:27 PM

SHAH ALAM, 9 Okt -- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan agar solat Jumaat, solat fardu lima waktu dan aktiviti pengimarahan di Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang dekat sini ditangguhkan bermula petang semalam sehingga diberitahu kelak. 

Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad berkata arahan itu susulan seorang jemaah yang hadir ke masjid berkenaan bagi menunaikan solat Jumaat pada 2 Okt, didapati positif COVID-19.

"Mengikut rekod, bilangan jemaah yang hadir pada solat Jumaat pada hari itu adalah seramai 1,310 orang.

"Oleh yang demikian, JAIS menyeru para jemaah yang hadir waktu berkenaan supaya tampil dan segera melakukan saringan di klinik kesihatan yang berhampiran sekiranya bergejala atau melakukan kawalan kendiri dengan kuarantin di rumah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Shahzihan berkata situasi itu juga akan dibincangkan dengan terperinci pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penilaian dan Pengawasan SOP Masjid & Surau yang akan dipengerusikan oleh beliau untuk tindakan selanjutnya mengenai kedudukan masjid itu dalam masa terdekat.

"Buat masa ini, pihak JAIS hanya membenarkan tiga petugas dari kalangan pegawai atau ahli jawatankuasa untuk melaungkan azan dan melakukan solat fardhu. 

"Kerja-kerja pembersihan dan sanitasi telah dilaksanakan oleh pihak pentadbir masjid pada hari ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan