EKONOMI

LEBIH BANYAK PELUANG PEKERJAAAN DITAWARKAN KEPADA PENEROKA FELDA - NTIS

28/11/2020 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov  -- National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) akan mempercepatkan daya saing sektor pertanian negara serta meningkatkan hasil sosioekonomi  bagi peneroka di tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) akan menjadi sekretariat utama dengan bekerjasama dengan Felda dengan sokongan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) sebagai penyedia pembiayaan khusus di bawah inisiatif NTIS.

Dalam satu kenyataan, NTIS berkata lima syarikat berteknologi tinggi telah dipilih untuk melakukan ujian terhadap pelbagai dron dan penyelesaian robot untuk meningkatkan daripada aspek penuaian, penyelenggaraan dan pembajaan ladang kelapa sawit di lokasi FELDA terpilih.

"Ini adalah sesi ujian bagi kumpulan  pertama yang akan berlangsung dari enam hingga 12 bulan kerana pembelajaran daripada inisiatif akan diterapkan kepada lebih banyak lokasi pertanian dalam waktu terdekat," katanya.

NTIS berkata dua tanah rancangan Felda Mempaga di Pahang seluas 25 hektar telah diperuntukkan sebagai tempat pelaksanaan penyelesaian dron dan robotik ini.

Kerjasama itu juga melibatkan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang akan menguji penyelesaian itu di kawasan yang ditentukan berdasarkan pencapaian yang dilakukan oleh penyedia penyelesaian teknologi untuk jangka masa enam hingga 12 bulan.

"Agensi ini juga akan menyediakan rangka kerja dan parameter teknikal serta pengawalseliaan untuk dron beroperasi dengan cekap serta selamat," katanya.

Melalui kerjasama tersebut, kerajaan menjangkakan untuk meningkatkan tahap pendapatan pada masa yang sama mewujudkan peluang ekonomi bernilai lebih tinggi untuk generasi peneroka seterusnya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata: “Petani menghadapi permintaan yang tidak menentu, rantaian bekalan terganggu dan cabaran lain yang menyebabkan kehilangan pekerjaan serta pendapatan yang lebih rendah kerana pandemik tersebut.

"Kerjasama hari ini adalah tepay pada masanya kerana pekerjaan di sektor pertanian menyumbang lebih daripada 12 peratus kepada pekerjaan di peringkat nasional dan kami ingin memulhkan sektor secepat mungkin.

"Selain menawarkan peluang pekerjaan, inisiatif ini juga akan berusaha meningkatkan tenaga kerja bagi menambahkan potensi pendapatan."

Sementara itu, Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata Felda terus menerapkan kemudahan moden pada tanah rancanganya bagi memastikan generasi peneroka seterusnya menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara.

Felda juga mensasarkan untuk meningkatkan purata pendapatan melebihi RM5,000 menjelang 2023.

"Teknologi moden dan penyelesaian canggih yang dilaksanakan melalui NTIS juga diharapkan dapat meningkatkan kepelbagaian tanaman dan menambahkan pekerja berkemahiran dalam kalangan peneroka," katanya.

NTIS berkata beberapa teknologi dan penyelesaian yang akan diuji termasuk penyemburan, Ladang Automatik Robotik Kecerdasan Buatan dan mesin penuaian berkuasa bateri untuk minyak sawit melalui kaedah memetik buah sawit.

Setakat ini, 1,773 permohonan telah diterima dengan RM18 juta dijangka akan disalurkan kepada syarikat-syarikat menjelang akhir tahun untuk membolehkan mereka bekerja di zon percubaan yang pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar berkata agensi itu teruja dapat menghubungkan syarikat pemula dengan Felda dalam usaha untuk memajukan dan mengembangkan lebih banyak aplikasi termasuk memberikan maklumat secara masa nyata mengenai permintaan pasaran, pengesanan awal dan amaran mengenai wabak penyakit serta faedah lain yang diperoleh melalui Internet Pelbagai Perkara dan Industri 4.0.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan