EKONOMI

SERBA DINAMIK RAIH PROJEK BERNILAI AS$114.3 JUTA DI SELURUH RANTAU

03/12/2020 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis -- Anak syarikat Serba Dinamik Holdings Bhd meraih sembilan kontrak di seluruh rantau ini dengan lima daripadanya mempunyai gabungan nilai anggaran kira-kira AS$114.3 juta (AS$1=RM4.07).

Dalam kenyataan hari ini, penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global itu berkata anak syarikat milik penuhnya Serba Dinamik International Ltd, SDIT International Ltd dan Serba Dinamik Sdn Bhd serta anak syarikat dengan kepentingan 75 peratus, PT Serba Dinamik Indonesia menerima sembilan kontrak termasuk enam kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M), satu kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC), manakala dua lagi kontrak teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Daripada projek itu, lima kontrak yang diraih mempunyai gabungan nilai anggaran kontrak kira-kira AS$114.3 juta yang bersamaan RM465.9 juta.

Selain itu, ia berkata baki empat kontrak lagi tidak mempunyai nilai khusus memandangkan kontrak itu berasaskan “call-out” yang mana arahan kerja dikeluarkan mengikut budi bicara pelanggan berdasarkan jadual aktiviti dan kadar mereka semasa sepanjang tempoh kontrak.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata projek yang diperoleh itu telah memperkukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan dan membolehkannya menamatkan tahun kewangan 2020 dengan keyakinan akan mengekalkan prestasi kewangannya.

“Projek terkini yang diterima menunjukkan keupayaan kami mendapatkan perniagaan selain industri minyak dan gas (O&G) yang telah terjejas akibat pandemik COVID-19. Oleh itu, kami secara agresif mengembangkan tugas-tugas EPCC kepada projek bukan O&G.

“Selain itu, satu daripada kontrak ICT yang diraih baru-baru ini membolehkan kami menempatkan kedudukan di Republik Guinea. Seiring dengan rancangan masa depan, kami juga akan memberi tumpuan untuk mengembangkan projek ICT dengan memanfaatkan teknologi digital terkini memandangkan kami melihat banyak peluang dalam industri itu,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan