BERITA COVID–19   Varian Omicorn: Thailand pertimbang batal rancangan guna kit ujian pengesanan pantas | COVID: Kes baharu di Sarawak kembali dua digit | Varian Omicron: Jepun sekat ketibaan pelancong asing | Belum jelas varian Omicron mudah berjangkiti, sebabkan gejala lebih teruk - WHO | Kes pertama positif COVID-19 VTL Malaysia-Singapura dikesan - Khairy | 
EKONOMI

Syarikat dapat manfaat daripada perubahan indeks konstituen - CGS-CIMB

07/12/2020 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis -- Perubahan yang diumumkan ke atas senarai indeks FTSE Bursa Malaysia (FBM) KLCI - Indeks FBM Mid 70 (FBM70) dan Indeks Syariah FBM Hijrah dijangka menyaksikan pengemaskinian oleh pengurus dana dan ini mungkin memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat tertentu, kata CGS-CIMB Research.

Dalam satu nota hari ini, firma penyelidikan itu berkata perubahan dalam indeks kaunter FBM KLCI yang berkuat kuasa 21 Dis, sejajar dengan nota previunya mengenai perkara itu.

Ia berkata langkah itu berpotensi memberi manfaat kepada Supermax Corp Bhd, MR DIY Group (M) Bhd, Heineken Malaysia Bhd, YTL Power International Bhd, Unisem (M) Bhd, UWC Bhd, ATA IMS Bhd, Duopharma Biotech Bhd, Petronas Dagangan Bhd dan Inari Amerton Bhd.

Bagaimanapun, CGS-CIMB berkata, ia berpotensi menimbulkan tekanan penjualan ke atas Sunway Construction Group Bhd, Kerjaya Prospek Group Bhd, AEON Co (M) Bhd, Velesto Energy Bhd, Petron Malaysia, Hengyuan Refining Company Bhd, Ecoworld International Bhd, Serba Dinamik Holdings Bhd dan FGV Holdings Bhd.

CGS-CIMB telah mengekalkan sasaran FBM KLCI pada 1,628 mata bagi akhir 2020 dengan tiga pilihan utamanya iaitu Inari, Public Bank Bhd dan Telekom Malaysia Bhd.

Berikutan kajian separuh tahunannya baru-baru ini, FTSE Russell mengumumkan bahawa KLCCP Stapled Group (terdiri daripada KLCC Property Holdings dan KLCC Real Estate Investment Trust) akan digantikan oleh Supermax sebagai konstituen FBM KLCI.

ATA IMS, Duopharma Biotech, Heineken Malaysia, KLCCP Stapled, MR DIY, Unisem, UWC, dan YTL Power International akan dimasukkan ke FBM70.

Sementara itu, AEON Co, Eco World International, Hengyuan Refining Company, Kerjaya Prospek Group Bhd, Petron Malaysia, Sunway Construction Group, Supermax dan Velesto Energy akan dikeluarkan daripada indeks berkenaan.

Bagi Indeks Syariah FBM Hijrah pula, ia bakal menyaksikan penambahan Inari Amertron Bhd dan Petronas Dagangan manakala FGV Holdings dan Serba Dinamik Holdings akan dipadamkan.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan