EKONOMI

TAWARAN SAHAM PERSENDIRIAN SERBA DINAMIK UNTUK JANA PERTUMBUHAN

21/01/2021 09:02 AM

KUALA LUMPUR, 20 Jan  -- Serba Dinamik Holdings Bhd berkata cadangan tawaran penempatan persendiriannya akan membolehkan kumpulan itu mengurus tahap mudah tunai dan penggearan untuk membiayai operasi semasa serta pertumbuhan masa depan syarikat. 

Penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global itu hari ini meluluskan resolusi bagi cadangan tawaran penempatan persendirian yang melibatkan sehingga 336.83 juta saham. 

Ia mewakili kira-kira 10 peratus daripada jumlah saham yang diterbitkan syarikat sehingga 30 Nov 2020, yang merupakan tarikh praktikal terkini sebelum pengumuman itu, yang pertama kali diberitahu kepada Bursa Malaysia pada 8 Dis 2020. 

Cadangan penempatan itu turut membabitkan sehingga 101.05 juta saham kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah atau kepada orang yang berkaitan dengannya, mewakili sehingga tiga peratus daripada jumlah saham yang diterbitkan syarikat. 

''Ini juga akan menyebabkan aliran tunai syarikat dapat dipertingkatkan, kecairan, penjimatan kos faedah dan tahap penggearan yang lebih baik,” kata Abdul Karim dalam satu kenyataan hari ini.

Sebahagian daripada dana yang dikumpul daripada langkah ini akan digunakan sebagai modal kerja untuk projek-projek di Abu Dhabi, yang merangkumi pembinaan pusat data, kemudahan termasuk pembangunan hab inovasi bersama-sama dengan infrastruktur teknologi maklumat yang berkaitan. 

''Hasil daripadanya juga akan digunakan sebagai perbelanjaan modal bagi menaik taraf kemudahan pengeluaran di Limbungan Teluk Ramunia yang terletak di Kota Tinggi, Johor yang terdiri daripada pembersihan tapak, baik pulih fasiliti bangunan sedia ada, pembelian dan pemasangan jentera berat serta peralatan yang berkaitan dengan perkhidmatan fabrikasi,'' katanya lagi.

Harga terbitan tawaran saham penempatan, dengan diskaun tidak lebih daripada 10 peratus, akan ditentukan melalui pelaksanaan pembinaan tempahan dan akan ditetapkan berdasarkan harga pasaran jumlah purata saham Serba Dinamik untuk lima hari pasaran sejurus sebelum tarikh penetapan harga.

Serba Dinamik dilaporkan berkata cadangan penempatan persendiriannya akan meningkatkan penggearan bersih syarikat kepada antara 0.5 kali dan 0.6 kali berbanding 0.88 kali selepas selesai langkah itu pada Januari 2021.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan