EKONOMI

AMINVESTMENT KEKALKAN SARANAN 'OVERWEIGHT' KE ATAS SEKTOR MINYAK DAN GAS, DIDORONG UNJURAN PROSPEK YANG LEBIH BAIK

03/03/2021 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac -- AmInvestment Bank telah mengekalkan saranan ‘overweight’ untuk sektor minyak dan gas (O&G), didorong oleh prospek yang lebih baik meskipun aliran pesanan agak lemah pada suku keempat 2020 (Q42020).

Dalam laporan berkenaan sektor itu hari ini, ia berkata tidak termasuk kontrak kerja-kerja am, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Serba Dinamik di Emiriah Arab Bersatu (UAE), kontrak-kontrak baharu yang diberikan kepada pengendali Malaysia pada 2020 merosot 42 peratus tahun ke tahun kepada RM6.6 bilion.

"Bagaimanapun, sekiranya termasuk projek besar UAE kepada Serba Dinamik, pesanan baharu untuk tahun 2020 sebaliknya meningkat 38 peratus tahun ke tahun kepada RM15.8 bilion.

"Pelancaran projek baharu masih lagi lembap pada Q4 2020 dengan kontrak baharu menyusut 32 peratus tahun ke tahun kepada hanya RM1.5 bilion," katanya.

Namun begitu, bank itu menambah angka itu masih lagi baik berbanding RM569 juta, iaitu paras terendah dalam tempoh tiga tahun yang dicatatkan pada suku pertama 2020 dan ini disokong oleh pandangannya bahawa impak terburuk COVID-19 telah berakhir di celah-celah prospek pengukuhan aliran pesanan pada separuh kedua 2021.

Sementara itu, dari segi keputusan kewangan suku keempat tahun kewangan 2020, ia berkata lima daripada sembilan syarikat di bawah liputannya mempamerkan prestasi dalam jangkaannya dan tiga lagi melebihi jangkaan bank berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan