AM

LAWATAN MUHYIDDIN CIPTA 'HORIZON' BAHARU DALAM HUBUNGAN DUA HALA UAE-MALAYSIA - DUTA

10/03/2021 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac -- Hubungan Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyaksikan perkembangan luar biasa terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan sejak pembukaan misi diplomatik di kedua-dua negara, menurut Duta UAE ke Malaysia Khalid Ghanim AlGhaith.

Beliau berkata kedua-dua negara telah menjalin hubungan dua hala pada awal 1970-an, diikuti dengan pembukaan misi diplomatik Malaysia di Abu Dhabi pada 1983 dan Kedutaan UAE di Kuala Lumpur pada 1995.

AlGhaith berkata ia turut didorong lawatan peringkat tinggi, terbaharu lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mulai Rabu, yang melambangkan hubungan silaturahim erat kedua-dua negara.

"Ia bertujuan memacu hubungan dua hala ke tahap baharu, mempromosi perdagangan dan pelaburan dengan potensi kerjasama dalam bidang keselamatan makanan, pembangunan produk halal, dan lebih banyak kerjasama di sektor minyak dan gas, selain kerjasama pasca-COVID-19 terutama dengan rancangan pemulihan pelancongan,” katanya.

Lawatan peringkat tertinggi itu termasuk kunjungan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke UAE pada Disember 2020 dan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan ke Malaysia pada Julai 2019.

Beliau berkata UAE adalah rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah dan Asia Barat, dengan jumlah perdagangan dua hala AS$29 bilion (AS$1=RM4.03) dalam lima tahun terakhir.

AlGhaith berharap di sebalik kesan pandemik COVID-19 dan kelembapan ekonomi global, jumlah dagangan antara kedua-dua negara dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang.

"Pelaburan syarikat UAE seperti Mubadala dan OSC dalam industri minyak dan gas di Malaysia dianggarkan bernilai US$1.2 bilion, sementara syarikat Malaysia seperti Serba Dinamik Holdings mempunyai kedudukan yang kukuh di UAE," katanya.

Ujar duta itu lagi, Malaysia adalah destinasi pendidikan bagi pelajar UAE dengan lebih 700 rakyatnya melanjutkan pengajian mereka di institut pengajian tinggi awam dan swasta Malaysia, kebanyakan dalam bidang pengurusan, perakaunan dan undang-undang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan