EKONOMI

MIDF NAIKKAN SARANAN SEKTOR O&G KEPADA POSITIF, TINGKATKAN HARGA SASARAN BRENT

11/03/2021 02:09 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac -- MIDF Research menaik taraf saranan terhadap sektor minyak dan gas (O&G) kepada ‘positif’ daripada ‘neutral’ sebelum ini susulan pemulihan permintaan ke atas minyak mentah.

Firma penyelidikan itu turut menyemak semula harga sasaran minyak mentah Brent bagi 2021 kepada AS$59 setong daripada AS$51 (AS$1 = RM4.12) setong, sebelum ini.

“Susulan perkembangan masa kini, kami berpendapat harga minyak mentah itu akan terus diniagakan dalam jajaran AS$58 hingga AS$65 setong bagi separuh pertama 2021.

“Selain itu, bekalan minyak itu dijangka terus dikawal secara aktif menerusi langkah pengurangan pengeluaran minyak mentah terutama dari Amerika Syarikat serta Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+),” katanya dalam kenyataan mengenai kemas kini sektor itu pada Khamis.

Menurut MIDF, permintaan terhadap minyak mentah itu juga akan didorong oleh pengangkutan serta harga produk petrokimia yang lebih baik dan dijangka kukuh dalam separuh kedua 2021 susulan perkembangan positif membabitkan usaha vaksinasi COVID-19.

“Kami menaikkan saranan sektor kepada ‘positif’ bagi kedua-dua subsegmen huluan dan hiliran kerana menjangkakan ia akan mendapat manfaat daripada aliran peningkatan harga minyak membabitkan potensi anugerah kontrak baharu berikutan harga yang lebih menarik. Selain itu, terdapat juga kenaikan harga produk untuk penggiat industri hiliran," kata MIDF Research.

Ia juga yakin dengan trajektori pemulihan O&G Malaysia berikutan Petronas kini dijangka meningkatkan perbelanjaan eksplorasi dan pengeluaran (E&P) pada 2021 kepada kira-kira RM40 bilion hingga RM45 bilion berbanding RM33 bilion pada tahun lepas.

Berikutan itu, syarikat-syarikat dengan asas-asas kukuh, pendapatan berulangan yang stabil, segmen perniagaan yang baik serta hasil yang pelbagai, menjadi pilihan firma penyelidikan itu bagi 2021.

Ini termasuk Dialog Group dengan harga sasaran (TP) pada RM4.30, Serba Dinamik Holdings (tiada penarafan) dan Gas Malaysia (RM3.22).

Bagi syarikat yang dijangka mendapat kesan dalam pergerakan harga minyak adalah Sapura Energy (TP: RM0.16) dan Malaysia Marine & Heavy Engineering (TP: RM0.49).

Dari segi dividen, MIDF Research menyarankan Favelle Favco (TP: RM3.00) dan Petronas Gas (TP: RM17.90) atas alasan syarikat-syarikat itu tidak hanya mencatat pendapatan berulang yang stabil, tetapi turut melakukan pembayaran dividen secara konsisten sejak tiga tahun lepas.

Selain itu, pilihan MIDF Research dari segi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) membabitkan dua syarikat Petronas -- Petronas Chemicals (TP: RM8.03) dan Petronas Gas (TP: RM17.90), berdasarkan komitmen bagi mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2025 serta pelbagai inisiatif ESG di peringkat dalaman.

“Kami juga memilih Gas Malaysia (TP: RM3.22) kerana menawarkan alternatif tenaga bersih kepada perniagaan di serata negara serta potensi penggantian loji dijana arang batu di masa depan susulan tamatnya perjanjian pembelian tenaga semasa pada 2023,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan