AM

KOTA SAMARAHAN BERPOTENSI SEBAGAI ZON PELABURAN PELANCONGAN KHAS - NANCY

28/03/2021 02:27 PM

KOTA SAMARAHAN, 28 Mac -- Kota Samarahan mempunyai tarikan yang tersendiri dan berpotensi disenaraikan sebagai antara Zon Pelaburan Pelancongan Khas yang berasaskan kepada ‘niche tourism’ dalam teknologi digital, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Syukri.

Beliau berkata kawasan Kota Samarahan juga berpotensi dibangunkan seperti Kota Kreatif Cimahi di sebuah provinsi di Jawa Barat, Bandung yang turut dikenali sebagai kota siber.

Menurut Nancy, Kota Cimahi berkonsepkan kreativiti, inovasi dan teknologi digital yang menjadi trend dan gaya hidup anak muda di sana, sehingga dapat melahirkan komuniti muda yang hidup dalam persekitaran serba digital termasuk dalam penjanaan ekonomi.

“Oleh yang demikian, penganjuran e-sukan seperti Kejohanan Siri 1 Serba Dinamik DOTA 2 ini adalah tepat pada masanya dan seiring dengan strategi MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya).

“Penganjuran program berasaskan e-sukan ini menyokong inisiatif kerajaan dalam pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA untuk mempersiapkan negara bagi peralihan kepada teknologi 5G kelak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian ‘Serba Dinamik Dota 2 Championship’ di D-Virtual Park di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata memandangkan sungai-sungai di Samarahan terutamanya Sungai Meranek mempunyai populasi buaya yang besar, aktiviti memerhati buaya bakal dijadikan produk pelancongan yang baharu di situ.

“Pihak Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) telah membuat perbentangan mengenai perkara itu (aktiviti memerhati buaya)… sebenarnya mereka (SFC) sudahpun melakukannya di kawasan Bako dan kini  kita (kementerian) mahu ia dibuat di kawasan Samarahan juga sebagai produk pelancongan baharu di kawasan ini.

“Memang aktiviti sedemikian bunyinya agak menakutkan namun aktiviti sebegitu menarik bagi sesetengah orang dan dengan adanya penglibatan pakar buaya, aktiviti sebegini akan lebih menarik minat orang ramai,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan