BERITA COVID–19   PKPD di Kampung Lubok Redan, Melaka dan Lorong 2 Kampung Kongsi 8, Tawau | Taska, tadika di Sarawak boleh beroperasi mulai Isnin - Fatimah | SOP ziarah Aidilfitri di tahap memuaskan, tiada kompaun dikeluarkan - Bukit Aman | Langgar SOP Aidilfitri: Exco Terengganu didenda RM2,000 | COVID: HTJ tukar beberapa wad biasa kepada Semi-ICU | 
AM

Pematuhan SOP: Dron jadi 'mata' Polis di bazar Ramadan

04/05/2021 11:49 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei -- Dron sekali lagi menjadi 'mata’ kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila teknologi itu turut digunakan memantau pematuhan  Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 dalam kalangan pengunjung bazar Ramadan di sekitar ibu kota.

Tinjauan Bernama di Bazar Ramadan Desa Pandan petang tadi mendapati pengoperasian dron itu digunakan untuk memantau pergerakan serta memberi amaran dan peringatan kepada pengunjung menerusi pembesar suara yang ada pada dron itu.

Video dan gambar akan dirakamkan dan boleh dilihat di pusat operasi unit dron yang ditetapkan bagi memantau pergerakan  pengunjung di bazar.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi berkata pemantauan menggunakan dron selain kehadiran anggota polis di bazar Ramdan akan diteruskan sehingga menjelang Aidilfitri. 

“Hari ini pengunjung tidak ramai seperti hari cuti dan hujung minggu… walau bagaimanapun polis tetap mengetatkan kawalan di semua pintu masuk bazar bagi memastikan penjarakan fizikal dipatuhi,” katanya.

Pada 1 Mei lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (kini Ketua Polis Negara) berkata polis menggunakan dron untuk memantau pematuhan SOP di bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di sekitar Lembah Klang.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan