EKONOMI

SERBA DINAMIK UMUM HARGA SAHAM DATA KNIGHTS PADA US$10 SEUNIT DI NASDAQ

07/05/2021 10:37 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei -- Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) menerusi syarikat pemerolehan tujuan khas, Data Knights Acquisition Corp, pada Jumaat mengumumkan harga tawaran awam awal (IPO) 10 juta sahamnya adalah US$10 (US$1=RM4.11) seunit.

Saham itu dijangka didagangkan di Pasaran Modal Nasdaq pada 7 Mei, Jumaat di bawah simbol ‘DKDCU’.

Data Knights merupakan syarikat yang ditaja oleh anak syarikat milik penuh SDHB, Serba Dinamik Group Bhd (SDGB).

Ia diwujudkan bagi tujuan melaksanakan penggabungan, pertukaran saham modal, pembelian aset, pembelian saham, penyusunan semula, atau penggabungan perniagaan yang sama dengan satu atau lebih perniagaan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, SDHB menjelaskan pelaburan keseluruhan oleh SDGB dalam Data Knights adalah kira-kira US$5.85 juta.

“Setiap unit merangkumi satu saham daripada saham biasa Kelas A dan satu waran boleh tebus Data Knights, yang membolehkan pemegang membeli satu saham daripada saham biasa Kelas A pada US$11.50 sesaham.

“Hanya waran penuh boleh dilaksanakan dan akan didagangkan,” jelasnya.

SDHB memaklumkan, apabila sekuriti tersebut yang terdiri daripada unit-unit itu mula didagangkan secara berasingan, saham biasa Kelas A dan waran berkenaan dijangka disenaraikan di Nasdaq masing-masing dengan simbol ‘DKDCA’ dan ‘DKDCW’.

Data Knights, syarikat berpangkalan di United Kingdom, merancang untuk mengumpul sehingga US$115 juta melalui IPO tersebut.

Tertakluk kepada penajaan, SDHB menjelaskan ia akan berada di kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada pulangan yang menarik berlandaskan penyertaan awal ke dalam syarikat berkenaan.

Ia menambah, penajaan itu dijangka mewujudkan peluang untuk pihaknya memperluas aktiviti perniagaan ke pasaran Amerika Syarikat dengan akses kepada kumpulan pelabur yang lebih besar.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan