EKONOMI

FINOLOGY DINOBAT JUARA PERTANDINGAN SEEDSTARS WORLD 2020/2021

23/05/2021 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei -- Syarikat teknologi kewangan (fintech) Malaysia, Finology telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Seedstars World 2020/2021, kata Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC)

Mewakili Asia, syarikat berkenaan telah bertanding dengan syarikat-syarikat terkemuka dari empat rantau lain iaitu Afrika, Eropah Tengah dan Timur (CEE), Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) dan Amerika Latin (LATAM).

Para peserta dinilai berdasarkan daya tarikan, skalabiliti, keuntungan dan daya tahan produk masing-masing, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Finology Robin Ang berkata syarikat berhasrat meningkatkan teknologi untuk menghasilkan lebih banyak kecekapan dalam mendapatkan produk kewangan sambil menyuntik pertumbuhan baharu dalam servis kewangan.

Sementara itu, Pengasas Bersama Finology Jared Lim menambah: "Sebagai perintis, ada masanya kerja kami tidak dipandang jelas oleh mereka yang berada di luar industri.

"Kami amat berbesar hati dapat berkongsi pentas bersama beberapa syarikat yang menjadi harapan di rantau mereka pada peringkat dunia. Ini mengukuhkan lagi kepercayaan bahawa kami berada di landasan betul untuk maju dalam menyediakan perkhidmatan berharga kepada masyarakat."

Seedstars, sebuah syarikat pegangan pelaburan berpusat di Swiss mengadakan Pertandingan Seedstars untuk mencari syarikat pemula niaga yang mempunyai harapan cerah dari rantau Asia, Afrika, CEE, MENA, dan LATAM setiap tahun. 

Selepas menjalani tempoh sembilan bulan melibatkan sesi kelas, sesi bimbingan dan pelbagai sesi '’pitching'’ di hadapan panel juri, pertandingan ini akhirnya tamat.

Ditubuhkan pada 2017, Finology kini mempunyai pelanggan di Malaysia, Kemboja, Nepal, Pakistan dan Indonesia untuk meneruskan usahanya dalam mendorong rangkuman kewangan dengan meningkatkan cara institusi kewangan dan syarikat insurans menjalankan perniagaan.

Selain daripada teknologi pembrokeran digital, Finology juga memiliki dan mengendalikan www.loanstreet.com.my, sebuah laman web kewangan peribadi dan agregator produk terkenal di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai syarikat ini, layari www.finology.com.my

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan